Saturday, August 14, 2010

MEMAHAMI MUALLAF

3. Cabaran Muallaf

a) Cabaran Sebelum Masuk Islam

i) Salah tanggapan terhadap Islam, sebelum masuk Islam walaupun keinginan untuk masuk Islam cukup kuat tetapi masih terdapat salah tanggapan terhadap Islam. Media telah berperanan penting dalam menciptakan salah faham orang bukan Islam terhadap Islam, ditambah lagi apabila melihat masyarakat Islam yang tidak mengamalkan. Sehingga seolah-olah yang dipromosikan oleh dunia barat adalah betul. Islam agama pengganas, Islam menzalimi perempuan dan juga Islam ketinggalan zaman serta umat Islam adalah mundur. 

ii) Islam adalah Melayu, masih ramai yang beranggapan bahawa Islam adalah Melayu dan Melayu  adalah Islam. Padahal Islam bukan hak milik sesuatu bangsa baik Melayu atau Arab sekalipun kerana terdapat juga orang Arab atau Melayu yang masuk Kristian atau beragama lain. Sungguhpun asalnya semua Melayu mitu Muslim tetapi terdapat segelintir Melayu yang telah menukar agama mereka menjadi Kristian seperti di Singapura dan juga Malaysia baik secara terang-terangan ataupun secara senyap-senyap. Ditambah lagi dengan budaya apabila masuk Islam, masyarakat kita telah memelayukan mereka dari segi pakaian dan juga cara hidup mereka.

iii) Semua agama, menganggap semua agama sama sebab semua agama adalah mengajar kebaikan. Kenapa harus memeluk islam? Bukankah dalam agama lain juga mengajar manusia menjadi baik. Pada asalnya memang semua agama mengajar kebaikan tetapi hanya Islam satu-satunya agama yang tidak mengerjakan amalan syirik sedangkan agama lain mengamalkan syirik kepada Allah. Oleh sebab itu agama lain semua tertolak sebab mengamalkan syirik kerana syirik adalah dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah.

iv) Akhlak Negatif di Kalangan Melayu, akhlak negatif segelintir masyarakat Melayu telah melemahkan semangat orang yang berminat Islam untuk masuk Islam. Sungguhpun terdapat ramai Melayu yang berjaya dan mempunyai akhlak yang mulia, tetapi disebabkan sebahagian kecil masyarakat Melayu yang berakhlak negatif menyebabkan mereka takut untuk masuk Islam. Orang bukan Islam seringkali menyamakan Melayu sebagai malas, jahat dan pelbagai akhlak negatif lainnya.

v) Hampir tiada dakwah daripada orang Islam, sungguhpun orang bukan Islam berkawan dengan orang Islam cukup rapat tetapi hampir tidak ada dakwah daripada orang Islam sehingga mereka tidak minat kepada Islam. Sekiranya ada yang berminat untuk masuk Islam maka layanan yang diberikan semasa menyampaikan keinginan masuk Islam sungguhpun mengecewakan. Bahkan keinginan tersebut tidak disambut dengan baik bahkan ditakut-takutkan dengan perkara-perkara yang berat seperti sembahyang lima kali sehari, puasa satu bulan, kena khatan dan lain-lain yang menakutkan mereka. 
 
vi) Muslim sejati, Tidak yakin dapat menjadi muslim sejati, tidak yakin dapat menjadi seorang muslim yang baik. Harapan yang terlampau tinggi daripada muslim menyebabkan mereka takut tidak dapat menjadi muslim yang baik. Ini juga akan membantutkan keinginan untuk memeluk Islam buat seketika, tetapi semangat tersebut akan datang semula dan hilang. Hanya keazaman yang kuat  dan hidayah daripada Allah yang dapat membuat keputusan untuk masuk Islam.

b) Cabaran Semasa Masuk Islam

i) Bagaimana beritahu Keluarga, selepas sahaja mengucap syahadah maka timbul ketakukan bagaimana mahu beritahu keluarga. Jangan kita memaksa mereka untuk memberitahu keluarga serta merta, kadangkala mereka belum bersedia untuk memaklumkan kepada keluarga kerana mereka lebih tahu penerimaan keluarga mereka. Kebanyakan mereka salah faham kalau masuk Islam adalah masuk Melayu sehingga mereka takut kehilangan anak mereka. Mereka perlukan masa untuk memberitahu keluarga, ada yang segera beritahu keluarga, ada juga yang ambil masa berbulan-bulan bahkan ada yang bertahun-tahun. Biarkan muallaf yang akan tentukan masa yang sesuai untuk memaklumkan kepada keluarga.

ii) Suami atau Isteri tidak memeluk Islam, Undang-undang di Malaysia apabila bertukar agama suami atau isteri selepas tiga bulan perkahwinan terbatalkan. Undang-undang tersebut sangat memberatkan pasangannya, isteri merasa dizalimi kerana Islam memisahkan mereka dengan anak-anak dan suami hanya kerana perbezaan panduan hidup. Mengikut pandangan Ulama Muktabar sekiranya suami mempunyai peluang untuk membawa isterinya memeluk Islam maka sebaiknya perkahwinan tersebut dikekalkan. Suami mempunyai peluang untuk mengajak isterinya memeluk Islam tanpa ada paksaan dan perlahan-lahan. 

iii) Menyara diri, bagi yang memeluk Islam semasa belajar pemberitahuan kepada keluarga akan menyebabkan keluarga menyekat perbelanjaan maka sebaiknya dirahsiakan pengislaman sehingga tamat belajar dan bekerja dengan satbil. Pemberitahuan kepada keluarga selepas tamat belajar dan bekerja tidak menjejaskan muallaf sungguhpun keluarga memulau dan menghentikan bantuan sara hidup mereka.

iv) Bagaimana dan di mana masuk Islam? Bagi orang bukan Islam yang kurang bercampur dengan muslim adalah suatu perkara yang susah untuk mendapatkan maklumat bagaimana mahu masuk Islam. Sebetulnya bagi orang yang tidak bercampur dengan muslim adalah suatu hal yang sangat susah untuk mendapatkan maklumat tentang bagaimana mahu masuk Islam sungguhpun keinginan begitu kuat. Hal ini disebabkan tidak ada satu panduan yang dapat menerangkan kepada bukan Islam prosedur untuk memeluk Islam atau maklumat asas yang boleh diperolehi oleh orang yang berminat mahu masuk Islam. Perkembangan Teknologi maklumat terutama internet banyak membantu muallaf untuk mendapatkan maklumat tentang pengislaman.

v) Ujian atau cabaran sangat kuat, Orang baru masuk Islam akan diuji dengan pelbagai cubaan, sehingga mereka merasa bahawa ujian tersebut terlampau berat. Pengajar harus memberi semangat bahawa setiap ujian yang Allah berikan kepada hambanya tidaklah berat kerana Allah tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuannya seperti dilaporkan dalam ayat di bawah ini:
"Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya." (Al-Baqarah 2:286)

vi) Birokrasi urusan pengislaman
Ada setengah jabatan agama yang begitu ketat dari segi birokrasi,  mereka hanya memberi layanan dengan syarat seperti di bawah:

a) Masa pejabat, cuba kita bayangkan kebanyakan bukan Islam bekerja dengan syarikat swasta. Untuk mendapatkan cuti adalah suatu perkara yang cukup susah, syaratnya harus datang pada masa pejabat cukup menyusahkan bagi orang yang mahu masuk Islam. Tidak salah dilayan di luar masa pejabat untuk memudahkan proses pengislaman. Sekiranya kita mengenalnya mungkin kita dapat membawanya ke Pertubuhan Bukan Kerajaan yang bergerak dalam bidang dakwah, atau pendakwah bebas yang dapat melakukan pengislaman bila-bila masa.

b) Gambar bersongkok atau bertudung, kadangkala jabatan agama mewajibkan gambar bagi lelaki harus bersongkok dan gambar perempuan harus bertudung. Cuba kita bayangkan adakah sesuatu yang mudah untuk mengambil gambar bersongkok dan bertudung bagi mereka yang belum Islam? Kenapa kita mahu mempersusahkan mereka dengan birokrasi yang tidak ada hubung kait dengan ajaran Islam? Berikan kemudahan bagi mereka dalam urusan birokrasi, bukan suatu yang mudah bagi mereka untuk menyediakan gambar bersongkok atau bertudung.

c) Tukar Nama, sudah menjadi isu yang umum di kalangan muslim di Malaysia dan Nusantara bahawa masuk Islam wajib tukar nama. Isu ini tetap belum selesai sungguhpun bukan tuntutan daripada Islam tetapi hanya undang-undang di Malaysia. Berdasarkan kajian yang dibuat bahawa tukar nama bukanlah perkara yang wajib apabila seseorang memeluk Islam. Ini dibuktikan pada zaman Rasulullah apabila sahabat masuk Islam mereka mengekalkan nama asal dan beliau hanya menasihatkan segelintir daripada mereka untuk tukar nama, ini pun kerana maknanya tidak bagus. Undang-undang di Malaysia mewajibkan setiap orang masuk Islam perlu tukar nama, mungkin tujuannya baik untuk memudahkan mengenali orang Islam berbanding bukan Islam sebab nama Arab atau kemelayuan. Muslim di negara Cina melebihi 100 juta tetapi kebanyakan mereka tidak menggunakan nama Arab hanya menggunakan nama Cina sahaja. 

"Panggillah anak-anak angkat itu dengan memakai nama bapak-bapak mereka; itulah yang lebih adil pada sisi Allah, dan jika kamu tidak mengetahui bapak-bapak mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudaramu seagama dan maula-maulamu. Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu khilaf padanya, tetapi yang ada dosanya apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Al-Ahzab 33:5)

Sungguhpun dibenarkan untuk mengekalkan nama asal tetapi akan menimbulkan sedikit masalah apabila mempunyai anak susah untuk binkan kepada ayahnya yang tidak tukar nama kepada nama arab atau melayu. 

d) Mengucap syahadah, proses syahadah adalah satu proses yang cukup mendebarkan. Sebahagian  muallaf yang telah belajar dan menghafal bacaan syahadah tersebut ada juga yang tidak mengetahuinya sama sekali. Sungguhpun demikian, proses mengucap syahadah bukan perkara mudah bari muallaf , maka mudahkan proses mengucap syahadah, tuliskan dalam bahasa rumi supaya mudah dibacakannya dan abaikan tajwid dan sebutan huruf sebab yang penting kefahaman dan keimanannya.

Perlu diingat bahawa muallaf adalah mereka tidak pernah belajar membaca bahasa  Arab  jadi mustahil  muallaf dapat membaca syahadah dengan fasih dilengkapi dengan tajwid dan sebutan huruf yang tepat. Bayangkan saudara tidak pernah belajar bahasa Mandarin, anda disuruh membaca bahasa mandarin , adakah anda dapat membaca dengan tepat? Tentu tidak dapat, begitu juga muallaf yang berasal daripada pelbagai latar belakang keluarga, juga tidak mudah untuknya membaca bahasa Arab dengan  tajwid dan sebutan yang tepat.

Terdapat kes seorang muallaf pergi ke jabatan agama untuk mengucap kalimah syahadah, disebabkan petugas jabatan agama terlampau mementingkan tajwid dan sebutan maka proses mengucap tertunda dan diberi masa selama tiga bulan untuk menghafal kalimah syahadah sampai fasih, selepas tiga bulan kemudian beliau kembali semula dan mencuba untuk mengucap semula dan gagal sehingga diberi peluang peluang ketiga selama enam bulan untuk menghafal semula dan akhirnya beliau membatalkan niatnya untuk memeluk Islam hanya disebabkan oleh perkara tersebut.

e) Khatan, khatan atau circumsize merupakan salah faham yang ketara di kalangan umat Islam apabila muallaf mahu masuk Islam. Seolah-olah khatan adalah perkara pertama yang perlu dilakukan apabila seseorang masuk Islam, sehingga ada sesetengah jabatan agama yang mensyaratkan khatan untuk mendapatkan kad Islam. Pengesahan khatan harus diberikan surat doktor bahawa sudah berkhatan, padahal khatan adalah perkara sunat yang boleh dilakukan kemudian. Namapun sunat kenapa harus dibuat dengan segera? Padahal bagi muallaf khatan sesuatu yang cukup menakutkan kerana maklumat yang diberikan oleh muslim tidak lengkap dan adanya provokasi bahawa khatan itu sangat sakit, sehingga muallaf gerun untuk melakukan khatan. Bagi sebahagian muallaf yang mengalami penyakit darah manis (diabetik), macamna mahu khatan? Muallaf lebih tahu masa yang sesuai untuk berkhatan, jangan paksa muallaf untuk melakukan serta merta.

Di samping itu kita harus faham selepas mereka berkhatan harus ada orang yang menjaganya, bayangkan kalau keluarga tidak tahu pengislamannya dan tidak ada saudara muslim yang bersedia  menjaganya. Siapa yang akan menjaga muallaf selepas berkhatan? Siapa yang menjaga makan minum muallaf? Proses penyembuhan memerlukan masa beberapa minggu, pekerja tidak mudah untuk mendapatkan cuti sampai dua minggu, oleh itu jangan paksa muallaf berkhatan sehingga mereka bersedia. Beri penjelasan kebaikan berkhatan seperti memudahkan menjaga kebersihan dan menghindari daripada berjangkit penyakit kelamin dan lain sebagainya.

f) Bahasa, bahasa adalah satu masalah bagi muallaf yang tidak sekolah di sekolah kebangsaan dan jarang bercampur dengan masyarakat melayu. Oleh itu usahakan bangsa mereka sendiri yang memberi penjelasan kepada mereka, sekiranya menggunakana bahasa melayu dalam penyampaiannya maka gunakan bahasa melayu ringkas yang mudah difahami oleh mereka. Jangan gunakan istilah-istilah arab yang susah difahami oleh muallaf. Sekiranya dapat menyediakan orang yang dapat berbahasa dalam bahasa ibunda mereka itu satu kelebihan.

g) Alamat surat menyurat, Sebahagian muallaf yang mahu merahsiakan pengislaman daripada keluarga maka dalam mengisi borang di jabatan agama semasa pengislaman tanya dulu adakah sekiranya ada surat menyurat boleh dihantar ke alamat tersebut? Sekiranya tidak mendapatkan kebenaran maka minta muallaf mengisi borang dengan alamat yang selamat daripada pengetahuan keluarga.  Pernah berlaku seoarang muallaf yang merahsiakan pengislaman daripada keluarga dan memberitahu pihak agama supaya tidak menghantar surat-menyurat ke alamat rumah yang beliau isikan dalam borang pengislaman. Mungkin disebabkan kesilapan petugas telah menghantar surat ke alamat rumah beliau tentang pengisltiharan pengislamannya, beliau sangat kecewa dan mendapat ugutan daripada keluarga selepas mereka tahu tentang pengsilamannya, akhirnya beliau kembali ke agama asal.

h) Pertukaran Kad Pengenalan Diri, kad pengenalan adalah suatu isu bagi yang masuk Islam tapi mengekalkan nama asal. Kadangkala terlampau susah untuk mendapatkan kad pengenalan dengan mengekalkan nama asal. Muallaf dapat mengisi borang pengekalan nama asal untuk mendapatkan kad pengenalan dengan nama asal dan beragama Islam. Saudara digalakkan suntuk membantu pengurusan kad pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara.

c) Cabaran Selepas Masuk Islam
i) Ugutan Keluarga, bagi keluarga yang tidak dapat menerima pengislaman ahli keluarga maka seelok-eloknya merahsiakan pengislaman tersebut. Sekiranya keluarga tahu dan mengugut maka saudara muslim harus membantu muallaf untuk menyelamatkan buat seketika. Kadangkala ahli keluarga dapat menerimanya tetapi saudara mara tidak dapat menerimanya. Dalam kes-kes seperti ini mohon saudara muslim yang lain memberi bantuan sekitaran sehingga dapat menyelamatkan akidahnya. Sekiranya mereka mendapat ugutan keluarga dan tidak mendapat perhatian daripada saudara muslim, maka keadaan ini cukup menyusahkan bagi muallaf. Ugutan pelbagai ragam, ada yang ugutan bunuh, dibuang keluarga dan ada juga minta kembali ke agama asal dan akan diberikan imbuhan yang menggiurkan. Ini adalah satu cabaran yang cukup hebat bagi muallaf di saat mereka kesusahan tidak ada duit maka keluarga menawarkan imbuhan yang cukup besar dengan syarat kembali ke agama asal.

ii) Kerjaya, kebanyakan muallaf bekerja dengan syarikat swasta akan kehilangan pekerjaan selepas pengislaman sekiranya diketahui oleh majikan. Ada sesetengah syarikat swasta yang bertolak angsur dengan muallaf tetapi banyak juga yang tidak dapat terima pengislaman pekerjanya sehingga dibuang kerja sebab dianggap telah mengkhianati bangsanya. Masa tersebut adalah masa paling kritikal bagi seorang muallaf, bantulah muallaf untuk mendapatkan pekerjaan atau bantuan kewangan untuk seketika sehingga muallaf berjaya mendapatkan pekerjaan baru.

iii) Perubahan Cara Hidup, perubahan cara hidup menyusahkan seoarang muallaf. Bayangkan muallaf dipaksa untuk menukar cara hidup serta merta, muslim selalunya mengajarkan perkara-perkara yang berkaitan dengan budaya bukan agama. Muslim selalunya memaksa muallaf untuk menukar gaya hidup seperti pakaian, makanan dan kebiasaan lainnya. Perubahan ini memerlukan masa yang lama, dan sekiranya budaya tersebut tidak bercanggah dengan budaya maka boleh dikekalkan seperti orang cina suka makan menggunakan chopstick, bercakap bahasa mandarin dan juga memakai baju cheong sam atau san fu, semua ini hanya budaya maka tidak perlu memaksanya untuk menukarnya. Yang perlu ditukar hanya amalan-amalan tidak baik yang bercanggah dengan hukum Islam seperti minum arak, main judi, merokok itupun perlukan masa yang lama untuk tinggalkannya bukan serta merta sebab mungkin sudah menjadi tabi'at sebelum masuk Islam.

iv) Tidak diterima oleh Orang Islam, Sebahagian muslim menganggap mullaf sebagai muslim kelas kedua ataupun pembawa masalah. Di saat kawan-kawan bukan muslim meninggalkan mereka maka muslim juga tidak mahu berkawan dengannya. Bayangkan perihnya muallaf apabila dipulau oleh bangsanya sendiri yang bukan Islam dan ditambah lagi dipulau oleh muslim itu sendiri. Muslim dapat berperan untuk membimbing muallaf menjadi muslim yang lebih baik dan berjaya. Kita harus sokong mereka bukan memulaukannya dalam apapun keadaan, mereka sangat perlukan sokongan saudara muslim

v) Amal secara Ilmu dengan amal secara keturunan, muallaf belajar asas agama dan mengamalkan agama islam secara ilmu manakala kebanyakan muslim yang dilahirkan dalam keluarga muslim mengamalkan Islam secara budaya. Ini akan mendatangkan salah faham antara suami isteri  sehingga digalakkan dalam membimbing muallaf pasangannya ikut serta supaya tidak berlaku salah faham di antara keduanya untuk menciptakan keharmonian rumah tangga. Seringkali muallaf ditegur tentang amalannya oleh muslim yang dilahirkan dalam keluarga muslim sehingga membuat mereka keliru sebab ustaz  mengajarkannya lain sedangkan amalan muslim sejak lahir lain maka ini akan mendatangkan kekeliruan kepada muallaf.

vi) Dijangka menjadi muslim yang baik serta merta, harapan yang tinggi daripada muslim  maka  akan  mengharapkan muallaf menjadi muslim yang sejati serta merta. Ini adalah suatu perkara yang mustahil dan akan membri impak yang tidak baik kepada muallaf kerana pembimbingnya akan sentiasa memberikan tekanan yang berlebihan sehingga muallaf akan tertekan. Ini yang selalu berlaku sehingga mereka tidak minat dan selesa untuk meneruskan pembelajaran. Minatnya untuk belajar akan semakin berkurang sekiranya sentiasa dipaksa untuk berubah serta merta. Sekiranya muallaf membuat kesilapan maka abaikan terlebih dahulu tunggu masa yang sesuai untuk menegurnya, teguran harus secara berhikmah supaya tidak membuat mereka tertekan dan tidak selesa, sehingga akan menghilangkan kepercyaan yang sudah tertanam di dalam dirinya tentang pengajar.

vii) Dianggap muslim kelas rendah, seringkali muallaf dianggap sebagai muslim kelas kedua sungguhpun mereka telah belajar Islam bahkan sudah mendapatkan kelayakan dan pengiktirafan daripada jabatan agama untuk mengajar dan memberi ceramah. Kadangkala muallaf tidak diberi kepercayaan untuk berceramah atau menjadi imam hanya disebabkan oleh status mereka masuk Islam bukan sebab ketiadaan ilmu. Sangat menyedihkan perkara ini berlaku di Malaysia yang dianggap masyarakatnya sudah semakin maju. Sekiranya muallaf mempunyai kebolehan maka berilah peluang kepada mereka untuk menunjukkan kepada saudara mara atau kawan bukan Islam bahawa menjadi muslim akan semakin berjaya.

4 comments:

  1. Assallamualaikum.... I would very much appreciate this article to be translated to English as I have a few friends who would like to know that we understand the issues they will go thru when converting and to explain that Islam is not bad and a torturous religion.This has enlighten my knowledge and as my fiancee is a non- muslim, it is therefore a very helpful and simple and easy to understand. ..................Thank you alhamdullilah .... pompeiieleven@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. Kenyataan Yang Memang Tidak Boleh Di Nafikan. Saudara Baru Yang Sedar kenyataannya Wajib Kekalkan Namanya Selagi Tidak Bercanggah Dengan Sunnah Dan Syariah Agama Islam. Tetapi Terlalu Banyak Manusia Di Malaysia Yang Tidak Menyedarinya Sesungguhnya Banyak Yang Menyedarinya. Sedih Sangat Sedih. Manalah manusia sedar Dan Betul Betul Sedar Nak Menuju AndaiKata Ada Yang Tidak Mahu Menerima Kebenarannya Sebagai Manusia Telah Di Turunkan Segalanya Kecuali Kesedaran Diri Sendirinya. Good Article Tetapi Siapa Yang Sedar Dan MelaksanakanNya Kebenarannya

    ReplyDelete
  3. Learning About Islam Is Not To Learn From The Muslims Because MusliMs Is Not Perfect But Islam Is.

    ReplyDelete