Friday, June 17, 2011

BAGAMAINA MENGAMALKAN ISLAM BAGI MUALLAF YANG MERAHSIAKAN PENGISLAMAN?

Saudara muslim yang telah memaklumkan pengislaman kepada keluarga tidak mempunyai masalah untuk mengamalkan Islam. Saudara muslim yang merahsiakan pengislaman daripada keluarga dan tinggal jauh daripada keluarga juga tidak mempunyai masalah mengamalkan islam kecuali semasa balik ke rumah ibubapa. Manakala muslim yang merahsiakan pengislaman daripada keluarga dan tinggal bersama ibubapa mempunyai masalah untuk mengamalkan Islam seperti shalat, tudung bagi perempuan dan juga pemakanan.

a. Shalat

Saudara muslim boleh melaksanakan shalat secara rahsia dalam bilik, jika takut diketahui oleh keluarga dan diketahui pengislaman sehingga menimbulkan masalah yang besar maka memadai shalat secara isyarat sahaja buat seketika. Jika keluarga memelihara anjing dalam rumah maka saudara muslim boleh menggunakan selipar semasa mengambil wudhuk dan melakukan shalat dalam bilik. Saudara muslim yang tinggal bersama ibu bapa dan bekerja di luar dapat melakukan shalat di luar rumah semasa pergi bekerja. Shalat tersebut dapat dilakukan seperti berikut :

1. Shalat subuh dilakukan semasa pergi bekerja dengan singgah di surau yang berdekatan

2. Shalat zuhur dilakukan semasa rehat tengahari

3. Shalat ashar dilakukan selepas tamat waktu bekerja

4. Shalat magrib dapat dilakukan dalam perjalanan balek ke rumah

5. Shalat isya dapat dilakukan dalam bilik sebelum tidur

Saudara muslim boleh menggabungkan shalat zuhur dengan ashar (jamak), magrib dan isya untuk sementara waktu sekiranya agak susah melakukan mengikut waktu.

b. Tudung

Saudara muslim perempuan yang merahsiakan pengislaman daripada keluarga bukan islam boleh tidak memakai tudung semasa pulang ke rumah ibubapa. Keadaan ini hanya dibenarkan untuk sementara sahaja sehingga keadaan saudara muslim tersebut sedia untuk memaklumkan pengislaman kepada keluarga. Muslim apabila menasihatkan saudara muslim perlu mengambil kira keselamatan diri dan akidah saudara muslim. mencegah masalah yang lebih besar seperti keselamatan lebih utama daripada amalan sungguhpun amalan tersebut adalah amalan wajib.

Contoh, seorang saudara muslim perempuan berbangsa Cina sedang belajar di universiti tempatan, beliau berkawan dengan muslimah bertudung labuh. Perempuan Cina tersebut memeluk Islam, selepas sahaja beliau memeluk Islam muslim tersebut mengahadiahkan kepada beliau tudung labuh dan menyuruh beliau untuk memakainya. Keesokan harinya beliau memakai tudung tersebut dan terserempak dengan kawan-kawan berbangsa cina. Mereka sangat terkejut melihat keadaan saudara muslim tersebut sehingga mereka memaklmkan keadaan tersebut kepada ibubapa beliau. Akhirnya ibubapa beliau sangat marah dan menghantar beliau ke Hongkong dan mengahwinkan beliau dengan lelaki bukan Islam di sana.

Peristiwa di atas boleh dijadikan sebagai iktibar bahawa bukan semua kewajipan perlu diamalkan serta merta tetapi perlu melihat masa dan keadaan. Muslimah-muslimah tersebut mempunyai niat yang sangat baik tetapi keadaan yang tidak sesuai telah mendatangkan masalah yang lebih besar. Muslim jangan memaksa saudara muslim untuk memakai tudung kerana keadaan darurat untuk merahsiakan pengislaman dan menyelamatkan akidahnya. Kadang kala saudara muslim perempuan yang telah memaklumkan pengislaman kepada keluarga juga terpaksa menanggalkan tudung semasa balik ke rumah. Ibubapa mahu merahsiakan pengislaman anak-anaknya daripada saudara mara ataupun penduduk kampung sehingga tidak membenarkan mereka memakai tudung semasa berada di rumah.

KENAPA MUSLIM TIDAK MENGAMALKAN VEGETARIAN?


Ramai bukan Islam terutama beragama Budha dan Hindu mengamalkan vegetarian menganggap Islam adalah agama yang kejam kerana tidak mengamalkan vegetarian. Mereka menganggap vegetarian lebih baik daripada makan haiwan baik kesihatan ataupun penjagaan alam semesta. Mengikut kajian penyumbang utama pencemaran udara dan alam semesta adalah pertenakan. Oleh itu, amalan vegetarian memberikan banyak kelebihan berbanding makan haiwan.

Islam adalah agama universal yang sesuai diamalkan di merata dunia baik di kutub utara ataupun selatanb. Islam tidak mewajibkan seseorang untuk menjadi vegetarian tetapi Islam tidak pernah menghalang sesiapa yang mahu mengamalkan vegetarian. Sekiranya seorang vegetarian memeluk Islam boleh mengekalkan menjadi vegetarian asalkan jangan mengharamkan makan haiwan sebab Allah telah menghalalkannya.

Adapun kelebihan mengamalkan pemakanan haiwan dan tumbuhan adalah :


1. Sayuran tidak dapat menghasilkan semua zat pemakanan yang diperlukan tubuh yang dihasilkan oleh haiwan misalnya terdapat asid amino yang hanya dihasilkan oleh haiwan.


2. Sekiranya mengamalkan vegetarian maka macamna dengan orang yang tinggal di kawasan kutub utara yang tidak tumbuh sayuran, Apa pilihan yang terbaik? Islam memberikan penyelesaian untuk makan haiwan


3. mengikut penemuan sains moden, tumbuhan juga mempunyai nyawa jadi apabila kita mengamalkan vegetarian maknya lebih banyak nyawa yang dikorbakan untuk seorang manakala seekor haiwan boleh mencukupi beberapa orang.

Thursday, June 16, 2011

ADAKAH MASUK ISLAM AKAN MENDAPATKAN HABUAN?


Sebahagian non muslim menuduh bahawa Islam memberikan habuan seperti wang tunai dan kenaikan jawwatan kepada non Islam yang memeluk Islam. Tuduhan ini tidak tepat kerana Islam tidak pernah memberikan habuan kepada mereka untuk memeluk Islam. Islam hanya memberikan sedikit saguhati kepada orang-orang yang berminat kepada Islam yang disebut muallaf. Saguhati tersebut ditetapkan dalam ketentuan zakat yang dipereuntukkan satu bahagian untuk muallaf. Firman Allah :



Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, miskin, amil zakat, muallaf (orang yang sedang dilembutkan hatinya), merdekan hamba sahaya, melunaskan hutang, untuk jalan Allah dan untuk orang dalam perjalanan, sebagai kewajipan dari Allah. Allah maha mengetahui, Maha bijaksana (At-Taubah ayat 60)



Ayat di atas menunjukkan bahawa orang-orang yang berminat kepada Islam diberikan saguhati berupa zakat. Sungguhpun demikian buakn bermakna Islam memberikan habuan kepada non muslim untuk memeluk Islam, kerana Islam tidak boleh dipaksa sungguhpun secara halus. Keinginan memeluk Islam mesti lahir daripada keikhlasan daripada diri sendiri. mungkin terdapat segelintir masyarakat Islam yang memberikan habuan kenaikan pangkat dan habuan duit supaya memeluk Islam tapi ini bukan jaran Islam tapi ajaran manusia yang tidak mengamalkan Islam dengan betu.

MACAMNA MEMBERITAHU KELUARGA TENTANG PENGISLAMAN?


Selepas sahaja mengucap syahadah maka timbul perasaan yang cukup lega seolah-olah semua beban hilang. Sungguhpun demikian keadaan tersebut bersifat sementara, selepas itu akan timbul perasaan takut untuk memaklumkan pengislaman kepada keluarga. Jangan paksa mereka untuk memberitahu keluarga serta merta jika mereka belum bersedia kerana mereka lebih tahu penerimaan keluarga berbanding kita.


Sungguhpun tujuan kita untuk memudahkan mereka menjaga pemakanan dan amalan tetapi tentangan keluarga akan menyusahkan mereka dalam mengamalkan Islam. Kebanyakan keluarga bukan Islam menganggap bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu sehingga mereka takut kehilangan anak kerana masuk Islam akan jadi Melayu.

Sebahagian Muslim melarang Saudara Muslim balik ke rumah ibubap
a kerana ibubapa makan makanan haram dan mengamalkan syirik. Oleh itu, keluarga bukan Islam merasa kehilangan anak-anak mereka jika masuk Islam, mereka tidak ada masalah anak memeluk Islam asalkan tidak menjadi melayu. Saudara Muslim perlukan persediaan mental untuk berhadapan dengan keluarga sekiranya keluarga tidak dapat menerima pengislaman dan menentangnya. Sebahagian Saudara Muslim terus memberitahu keluarga tentang pengislaman dan sebahagian lagi mengambil masa berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun untuk memaklumkannya. Berikan masa kepada Saudara Muslim untuk memaklumkan pengislaman kepada keluarga.


Saudara Muslim perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi keluarga apabila keluarga bukan Islam mengetahui tentang pengislaman. Saudara Muslim mengharapkan keluarga bukan Islam dapat menerima pengislaman serta merta apabila dimaklumkan kepada keluarga. Saudara Muslim harus sedar bahawa sebelum mereka memeluk Islam memerlukan masa yang agak lama untuk membuat keputusan untuk memeluk Islam. Selepas memeluk Islam pula Saudara Muslim masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka adalah muslim sehingga perlukan masa yang agak lama untuk menerima diri mereka sebagai seorang muslim.


Sekiranya Saudara Muslim sendiri perlukan masa yang lama untuk dapat menerima kenyataan bahawa dirinya telah menjadi seorang muslim maka Saudara Muslim harus memberikan masa yang lebih lama kepada keluarga untuk dapat menerima pengislaman mereka. Jangan berharap keluarga bukan Islam dapat menerima pengislaman serta merta. Saudara Muslim dapat melakukan beberapa perkara yang dapat menyejukkan hati ibubapa dan dapat menerima pengislaman secara perlahan-lahan :

1. Memaklumkan pengislaman secara perlahan-lahan secara tidak langsung seperti membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam tanpa bias ataupun membela Islam.



2. Tunjukkan perubahan positif selepas memeluk Islam seperti


a. Salam dengan menjabat dan mencium tangan ibubapa setiap kali balik ke rumah.


b. Ikut semua ucapan ibubapa dan jangan menyampuk sebelum mereka habis bercakap


c. Hargai mereka dengan memaklumkan kepada ibubapa setiap kali keluar rumah dan meminti kebenaran daripadanya


d. Menyiapkan makanan kepada ibubapa


e. Hubungi mereka dengan kerap dan minta nasihat daripada mereka sebagai pengiktirafan kita terhadap ibubapa


f. Hantar hadiah kepada mereka setiap menjelang hari-hari besar Islam seperti bulan Ramadhan dan hari raya


g. Raikan hari-hari besar bersama ibubapa seperti sambutan tahun Baru Cina dan Pesta keamatan serta sambutan hari besar lainnya selagi tidak bercanggah dengan syarak




3. Saudara Muslim perlu mengekalkan identiti diri supaya keluarga tidak menganggap mereka telah menukar bangsa juga.


4. Buktikan bahawa Islam tidak pernah memutuskan hubungan darah di antara anak dan ibubapa serta adik beradik.


5. Mengambil berat tentang keluarga bukan Islam sungguhpun berbeza agama akan memudahkan mereka menerima pengislaman tersebut.


6. Banyak bertolak angsur berkaitan hukum-hukum fikah dalam berinteraksi dengan mereka buat seketika sehingga sampai masa yang sesuai untuk menerangkan secara perlahan-lahan.

Saturday, June 11, 2011

SALAH TANGGAPAN DI KALANGAN MUALLAF

Apabila seseorang telah minat kepada Islam sehingga membantutkan keinginan tersebut. Salah tanggapan tersebut berpunca daripada media massa yang memburuk-burukkan Islam dan perangai segelintir muslim yang tidak mengamalkan Islam. Contoh-contoh buruk di kalangan masyarakat muslim seperti pembuangan anak, sumbang mahram, rogol dan dadah tertinggi di kalangan Muslim sungguhpun perkara tersebut berlaku juga di kalangan bukan Islam tetapi media tidak menjadikan sebagai berita utama dalam surat kabar.Selain itu masyarakat muslim yang majoriti akan menunjukkan lagi keburukan yang lebih ketara berbanding bangsa-bangsa yang lain.

Media berperanan penting dalam menciptakan salah faham tersebut dengan membuat pernyataan negatif dan tidak adil tentang Islam, ditambah lagi oleh segelintir muslim yang tidak mengamalkan Islam menambahkan keyakinan mereka tentang kebenaran berita yang dipaparkan oleh media massa. Islam dituduh menggalakkan keganasan, menindas perempuan dan ketinggalan zaman. Salah faham tersebut akan melemahkan semangat orang-orang yang sedang mengkaji Islam dan mahu memeluk Islam. Pelbagai tuduhan oleh media telah mempengaruhi minda orang-orang bukan Islam terhadap Islam

a. Islam adalah Melayu

Kebanyakan orang bukan Islam menganggap Islam adalah Melayu dan Melayu adalah Islam. Anggapan tersebut wujud kerana penduduk Islam paling ramai di dunia adalah melayu bahkan lebih ramai daripada bangsa Arab sendiri. Sungguhpun demikian Islam bukan hak milik sesuatu bangsa baik Melayu atau Arab. Sungguhpun Islam diturunkan di Arab dan panduan utama iaitu al-Qur’an berbahasa Arab bukan bermakna Islam adalah hak milik orang-orang Arab, kerana Islam adalah agama universal yang diturunkan kepada seluruh alam. Ini dapat dibuktikan bahawa muslim bukan bangsa Arab lebih ramai daripada bangsa Arab. Firman Allah:

Tiada Kami mengutus Engkau (Muhammad), melainkan untuk seluruh umat manusia sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Surat Saba’, ayat 28)

Pada masa yang sama terdapat juga orang Arab atau Melayu yang bukan beragama Islam. Sungguhpun sebahagian besar keturunan Melayu adalah beragama Islam tetapi terdapat segelintir Melayu yang tidak beragama Islam seperti masyarakat Bali di Indonesia. Pada zaman sekarang terdapat juga segelintir Melayu yang telah keluar daripada Islam seperti di Indonesia, Singapura ataupun Malaysia. Anggapan muslim adalah melayu kerana perlembagaan Persekutuan mendefinasikan Melayu adalah orang-orang yeng beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu.

Anggapan memeluk Islam adalah masuk melayu diperkuat lagi oleh amalan muslim di Malaysia apabila seseorang memeluk Islam menjadikan saudara Muslim menjadi Melayu dengan mengajarkan dan memaksa mereka mengamalkan adat resam Melayu. Saudara Muslim lebih ditekankan untuk mengamalkan budaya dan adat resam melayu berbanding Islam selepas terlebih lagi yang berkahwin dengan Melayu. Majelis perkahwinan hanya dilakukan dalam budaya dan adat resam Melayu semata-mata.

b. Semua agama adalah sama

Kebanyakan bukan islam menganggap semua agama adalah sama kerana mereka menganggap semua agama mengajarkan kebaikan. Mereka selalu berkata kenapa perlu memeluk Islam? Bukankah agama lain juga mengajarkan kebaikan?

a. Pada asalnya semua agama mengajarkan kebaikan dengan menyeru manusia untuk beriman dan menyembah Allah, kemudian agama selain Islam telah dipesongkan oleh pengikutnya sehingga mensyirikkan Allah. Contohnya, Apabila ditanyakan kepada bukan Islam siapakah Tuhan mereka? Mereka jawab Allah, yang membezakan Allah yang difahami oleh muslim dengan bukan Islam adalah Islam tidak mensyirikkan Allah dengan sekutu-Nya manakala agama lain mensyirikkan Allah dengan sekutu-Nya seperti kristian beriman Tuhan mempunyai anak dan bagi Hindu Tuhan menjelma menjadi Krisna, Rama dan lain-lain. Dalam Islam Allah tidak sekali-kali mempunyai anak dan menjelma menjadi manusia kerana Allah suci daripada sifat manusia.

b. Hanya Islam sahaja yang tidak mensyirikkan Allah dan mengajarkan cara untuk mencapai kabaikan tersebut dan mempunyai penyelesaian apabila manusia tidak mengamalkan kebaikan dengan balasan baik dan buruk serta tindakan undang-undang Islam sehingga menggalakkan manusia untuk mengamalkannya. Selain itu, hanya Islam yang diiktiraf oleh Allah sebagai agama yang diridhai-Nya. Firman Allah :

Sesungguhhnya agama yang diridhai di sisi Allah adalah Islam....(Ali-Imran 3:19)

c. Hanya Islam tidak mengamalkan syirik kepada Allah sedangkan agama lain mengamalkan syirik. Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah maka semua amalan lain akan tertolak kerana mengamalkan syirik. Firman Allah :

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada syirik itu, bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah melakukan dosa besar. (Surat An-Nisa’, ayat 48)

d. Agama selain Islam tidak diterima oleh Allah, firman Allah :

Sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima agama tersebut daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Surat Ali-Imran, ayat 85)

2. Akhlak Negatif Masyarakat Melayu

Terdapat segelintir melayu yang beragama Islam tetapi tidak mengamalkan ajaran Islam serta menunjukkan perangai yang tidak baik dan mereka mewakili umat Islam. Akhlak negatif segelintir masyarakat Melayu telah memburukkan imej muslim yang lain sehingga melemahkan semangat orang yang sedang mengkaji Islam. Sungguhpun terdapat ramai Melayu yang berjaya dan mempunyai akhlak yang mulia, tetapi disebabkan sebahagian kecil masyarakat Melayu yang berakhlak buruk menyebabkan mereka takut kepada Islam.

Orang bukan Islam menganggap bangsa Melayu sebagai bangsa yang malas, jahat dan pelbagai akhlak negatif lainnya. Perkara ini berlaku kerana media massa lebih banyak melaporkan tentang keburukan segelintir masyarakat melayu berbanding kebaikannya. Media sentiasa melaporkan tentang perangai buruk melayu seperti bohsia, mat rempit, penagih dadah dan kes buang bayi tertinggi di kalangan masyarakat melayu. Media hanya menonjolkan perangai negatif tersebut sehingga minda masyarakat bukan Islam menganggap bahawa Muslim adalah agama yang mengajarkan keburukan.

Sungguhpun amalan ini juga berlaku di kalangan masyarakat bukan melayu tetapi tidak dilaporkan kepada media kerana amalan tersebut sudah menjadi amalan biasa sehingga dapat diterima oleh mereka. Selain itu, jumlah melayu majoriti di m
alaysia akan menyebabkan masalah sosial yang direkodkan lebih tinggi berbanding bangsa-bangsa yang lain sungguhpun peratusannya sama. Jika kita melihat di luar negara, masyarakat majoriti akan merekodkan kes sosial yang lebih tinggi berbanding masyarakat minoriti.

3. Hampir tiada dakwah daripada orang Islam

Sungguhpun orang bukan Islam berkawan dengan orang Islam cukup mesra tetapi hampir tidak ada dakwah daripada orang Islam kepada mereka. Maklumat salah tentang Islam ditambah lagi oleh perangai buruk segelintir muslim akan menyebabkan mereka semakin jauh daripada Islam. Pada masa yang sama tidak ada muslim yang menyampaikan tentang keindahan Islam kepada mereka sehingga mereka tidak minat untuk belajar Islam.

Keadaan ini sangat berbeza dengan penganut kristian, mereka bersungguh-sungguh dalam menyampaikan mesej tentang agama mereka kepada orang selain kristian. Jika ada yang berminat untuk mengetahui tentang Islam dan bertanya tentang Islam maka layanan yang diberikan sangat mengecewakan. Mereka dilayan dengan kasar dan dipenuhi perasaan curiga. Ada juga yang mahu memeluk Islam tidak dilayan dengan baik dan tidak diberi sokongan bahkan ditakut-takutkan dengan perkara-perkara yang memberatkan seperti sembahyang lima kali sehari, puasa satu bulan dan kena potong bagi lelaki.

Kurangnya muslim menyampaikan Islam kepada bukan Islam kerana ada anggapan jika muslim telah membawa seseorang memeluk Islam kemudian saudara muslim tersebut keluar semula daripada Islam maka dosa tersebut akan ditanggung oleh muslim tersebut. Pandangan tersebut sangat daif kerana tidak ada nash yang menerangkan perkara tersebut. Selain itu kebanyakan Muslim tidak suka berkawan dengan bangsa lain dan mementingkan diri sendiri, mereka hanya mahu mempastikan diri dan keluarga dapat beramal dengan baik maka tidak perlu ambil tahu perihal orang lain.

4. Saudara Muslim tidak yakin dapat menjadi muslim sejati

Harapan yang terlampau menyebabkan mereka takut tidak dapat menjadi muslim yang baik. Ini juga akan membantutkan keinginan seseorang untuk memeluk Islam buat seketika, tetapi semangat untuk memeluk Islam akan datang semula dan hilang semula. Hanya keazaman yang kuat dan sokongan daripada Muslim serta hidayah daripada Allah akan menyakinkan mereka untuk memeluk Islam. Berikan sokongan kepada saudara muslim yang akan memeluk Islam berupa sokongan moral dan material jika diperlukan. Bimbinglah saudara muslim selepas memelauk Islam supaya mereka tidak merasa keseorangan.

Friday, June 10, 2011

BOLEHKAH MEMELUK ISLAM BAGI UMUR DI BAWAH 18 TAHUN?

Bagi seseorang yang minat kepada Islam dan berumur 18 tahun ke bawah menghadapi cabaran undang-undang yang cukup kuat. Ahli keluarganya boleh menuntut orang yang melakukan pengislaman di mahkamah untuk kembali kepada agama asal kerana perkara tersebut termaktub dalam undang-undang (Perlembagaan Persekutuan) tukar agama di Malaysia. Perkara 12 (3) menyebutkan :

“Tidak sesiapapun boleh menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa atau mengambil dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama lain selain agama asal ibu bapanya.”

Perkara 12 (4) menyebutkan dengan jelas tentang larangan perpindahan agama bagi yang berumur 18 tahun ke bawah:

“Bagi maksud fasal (3) agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.”

Implikasi kedua perkara tersebut adalah sangat buruk bagi saudara muslim yang memeluk Islam semasa berumur 18 tahun ke bawah kerana tidak ada pertubuhan kerajaan atau individu yang berani menjaga kebajikan mereka kerana ahli keluarga boleh menuntut mereka di mahkamah kerana melanggar perlembagaan Persekutuan perkara di atas. Ibu bapa atau penjaga mempunyai hak memaksa saudara muslim tersebut untuk kembali kepada agama asal tanpa ada perlindungan undang-undang terhadap mereka untuk mengekalkan agama mereka.

Oleh itu muslim boleh mengislamkan mereka tanpa perlu mendaftarkan pengislaman buat seketika sehingga umur mencapai 18 tahun. Oleh itu saudara muslim tersebut harus merahsiakan pengislaman daripada keluarga, mereka boleh mengamalkan islam secara senyap-senyap jika tidak menimbulkan kecurigaan keluarga.

Thursday, June 9, 2011

SALAHKAN ORANG MASUK ISLAM KERANA BERKAHWIN DENGAN MUSLIM?

Sebahagian saudara muslim memeluk Islam kerana percintaan dengan muslim sehingga memeluk Islam untuk memudahkan mereka berkahwin. Pergaulan antara bukan Islam dengan muslim di alam persekolahan dan pekerjaan telah melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang di antara mereka. Undang-undang Malaysia tidak membenarkan perkahwinan antara lelaki atau perempuan muslim dengan lelaki atau perempuan bukan Islam. Oleh itu, bukan Islam wajib memeluk Islam jika ingin berkahwin dengan muslim baik secara terpaksa ataupun secara sukarela.

Sebelum memeluk Islam digalakkan untuk mempelajari Islam dengan manghadiri kelas-kelas yang disediakan oleh Pertubuhan bukan Kerajaan untuk orang-orang mahu belajar Islam. Pasangan daripada kalangan muslim yang memahami Islam dengan baik akan menyokong bakal pasangan untuk belajar Islam sebelum memeluk Islam sehingga mereka faham Islam. Kebiasaannya mereka tidak merasa dipaksa untuk memeluk Islam selepas memahami Islam dengan baik.

Sebahagian daripada mereka merasa dipaksa memeluk Islam kerana perkahwinan tersebut terlebih lagi apabila pasangan Islam tidak mengajak mereka mempelajari Islam sebelum berkahwin. Oleh itu, ramai saudara muslim yang memeluk Islam kerana berkahwin tidak belajar dan mengamalkan Islam. Saudara Muslim kumpulan ini sangat berpotensi untuk kembali kepada agama asal apabila mempunyai masalah selepas berkahwin dan berlaku perceraian.

Sebahagian muslim memandang rendah Saudara Muslim yang memeluk Islam kerana berkahwinan. Sepatutnya muslim mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan kerana memeluk Islam melalui perkahwinan tersebut. Muslim harus memanfaatkan keIslaman tersebut dengan membimbing mereka supaya menjadi muslim yang baik. Orang yang memeluk Islam kerana perkahwinan jika dibimbing dengan baik akan menjadi muslim yang baik. RTerdapat pendakwah bebas di Malaysia daripada mereka yang memeluk Islam kerana perkahwinan.

Pada zaman Rasulullah Islam juga disebarkan melalui perkahwinan dengan kalangan bukan Islam. Bahkan pendakwah-pendakwah yang menyebarkan Islam ke nusantara juga menggunakan perkahwinan untuk memudahkan menyampaikan Islam kepada rakyat tempatan. Yang menjadi isu bukan masuk Islam kerana perkahwinan tetapi setakat mana penggunaan peluang tersbut untuk membimbing mereka untuk mengenali dan mengamalkan Islam.

Sunday, June 5, 2011

MUDAHNYA MEMELUK ISLAM

Ramai muslim mengajarkan kepada orang-orang yang berminat untuk memeluk islam bahawa memeluk islam adalah perkara yang mudah. Adakah semudah yang diajarkan?



Mengikut pengalaman muallaf apabila mereka berkongsi pengalaman dengan saya mereka memeluk Islam tidak semudah yang digambarkan oleh kawan-kawan muslim sebelumnya. Kenapa perkara ini wujud?



1. Perbezaan amalan Muslim dan Ajaran Islam

Saudara Muslim keliru apabila melihat perbezaan yang ketara antara Islam yang dipelajari dengan amalan harian masyarakat Islam di Malaysia pada amnya. Saudara Muslim mengamalkan Islam berdasarkan Ilmu manakala kebanyakan Muslim sejak lahir mengamalkan Islam berdasarkan budaya. Kalau setakat mengamalkan untuk diri sendiri tidak ada masalah tetapi mereka mengatakan amalan saudara muslim keluar daripada ahlus sunnah wal jamaah, keadaan ini akan menyebabkan saudara muslim menjadi keliru dan tertekan.

2. Maklumat yang didapat tentang syahadah berbeza dengan amalannya


Saudara muslim dimaklumkan bahawa semasa memeluk Islam tidak perlu menukar nama kepada Nama Arab tetapi tetiba sahaja Ustaz yang menguruskan pengislaman menanyakan nama Islam yang dipilih. Keadaan ini akan membuat saudara muslim terperanjat dan tertekan sehingga terpaksa menerima nama Islam yang dicadangkan oleh ustaz yang menguruskan pengislaman tersebut. Kemudian Ustaz kadang kala memberikan ceramah yang terlampau panjang sehingga menyebabkan saudara muslim takut dan gementar. Keadaan ini berbeza dengan yang dimaklumkan oleh kawan-kawan muslim yang lain sehingga mengelirukan saudara muslim.


3. Kurang pendedahan tentang cabaran yang dihadapi selepas memeluk Islam


Kebiasaan muslim hanya menerangkan bahawa Islam adalah agama yang mudah tanpa memberikan penerangan yang lengkap tentang asas-asas Islam dan amalan yang wajib ditunaikan sebagai seorang muslim. Selepas sahaja mengucap syahadah mereka telah dipaksa untuk mengamalkan pelbagai macam amalan adakah wajib ataupun sunah. Pada peringkat ini akan menyebabkan saudara muslim sangat tertekan.


Langkah-alngkah yang sepatutnya dilakukan :

1. Pendedahan kehidupan saudara muslim secara langsung

Seseorang yang akan memeluk digalakkan untuk berhubung dan tinggal bersama saudara muslim yang baru memeluk Islam supaya dapat membayangkan kehidupan nyata seorang saudara muslim. Keadaan ini akan membina mental saudara muslim tersebut dan juga terbiasa dengan amalan-amalan harian yang wajib dilakukan sebagai seorang muslim.


2. Merujuk saudara muslim kepada orang-orang yang pakar dalam bidnag tersebut

Saudara Muslim tersebut perlu dirujuk kepada pakar kaunseling ataupun bimbingan saudara muslim sehingga mereka mempunyai kaedah tersendiri untuk membimbing saudara muslim yang sesuai. Keadaan ini akan membantu mereka dalam memahami Islam berdasarkan nash yang sahih bukan amalan budaya tempatan


3. Menggalakkan mengikuti kelas bimbingan asas bagi saudara muslim yang disediakan

Kelas bimbingan asas bagi saudara muslim akan membantu dalam memahami asas-asas Islam yang perlu diketahui dan diamalkan oleh seorang muslim. Pada peringkat awal mereka hanya didedahkan kepada amalan-amalan wajib yang terdapat dalam agama Islam sehingga mencapai peringkat tertentu

Friday, June 3, 2011

PERSEDIAAN SEBELUM MEMELUK ISLAM

Apabila seseorang minat Islam dan telah membuat keputusan memeluk Islam maka perlu mempersiapkan beberapa perkara :

1. Persiapan Mental
Peringkat pertama, Sebelum memeluk Islam saudara muslim perlu mempersiapkan mental dalam menghadapi cabaran daripada keluarga dan kawan-kawan bukan Islam dan juga muslim sejak lahir. Sebelum memaklumkan pengislaman kepada keluarga maka saudara muslim perlu memberikan isyarat secara perlahan-lahan kepada keluarga bahawa telah memeluk Islam baik melalui perbuatan atau perkataan. Saudara muslim boleh menerangkan tentang Islam secara perlahan-lahan apabila terdapat isu Islam ditayangkan di televisi atau surat kabar. Saudara muslim perlu membetulkan tanggapan negatif keluarga bukan Islam terhadap Islam secara perlahan-lahan tanpa memihak kepada Islam hanya memberikan penerangan secara lojik akal.

Peringkat Kedua, Media massa yang menyampaikan perkara negatif tentang islam telah mempengaruhi minda mereka sehingga sebahagian mereka sangat anti kepada Islam. Apabila peringkat pertama telah selesai maka saudara muslim perlu melalui peringkat kedua iaitu menunjukkan perubahan akhlak yang lebih baik berbanding sebelumnya. Tunjukkan akhlak positif yang belum pernah diamalkan sebelumnya seperti lebih kerap melawat ibu bapa di kampung dan memberikan saguhati kepada mereka serta layan mereka dengan baik.

Peringkat ketiga, Saudara muslim berpura-pura tanya kepada ibu bapa apakah respon mereka jika anak-anaknya memeluk Islam? Jika mereka memberikan respon yang negatif maka ambil masa yang agak lama untuk memaklumkan pengislaman kepada ibu bapa. Sekiranya ibu bapa memberikan respon positif maka tunggu masa yang sesuai untuk memaklumkan pengislaman kepada mereka.

Peringkat terakhir, Saudara muslim sudah bersedia apabila keluarga tidak dapat menerima pengislaman baik secara emosi mahupun fizikal. Kebiasaan ibu bapa atau ahli keluarga yang lain tidak dapat menerima berita pengislaman tersebut dengan tenang. Saudara muslim harus memberikan masa kepada mereka untuk dapat menerima pengislaman tersebut. Jangan paksa mereka menerima pengislaman tersebut dalam masa yang singkat. Saudara muslim sendiri mengambil masa yang agak lama untuk menerima dirinya sebagai seorang muslim maka keluarga memerlukan masa yang lebih lama berbanding saudara muslim menerima diri sendiri sebagai muslim.


Kebiasaan saudara muslim mengabaikan perkara ini, mereka mengharapkan keluarga dapat menerima pengislaman dirinya serta merta sedangkan diri sendiri juga memerlukan masa yang agak lama untuk menerima dirinya sebagai seorang muslim. Sekiranya saudara muslim memerlukan masa setahun untuk menerima dirinya sebagai seorang muslim dan mengamalkan islam maka ibu bapa memerlukan masa yang lebih lama mungkin dua tahun ataupun empat tahun.


Persiapan mental saudara muslim sebelum memeluk Islam juga dapat dilakukan dengan bertukar pandangan dengan saudara muslim yang telah memeluk Islam. Lebih baik lagi sekiranya saudara muslim dapat menjumpai saudara muslim dan tinggal bersama mereka supaya dapat melihat secara nyata kehidupan seorang saudara muslim. Mereka akan faham cabaran seorang saudara muslim dalam menghadapi keluarga, kawan bukan Islam dan juga masyarakat Islam. Perkara ini sangat membantu seseorang yang akan memeluk Islam dalam pembinaan mental dalam menghadapi cabaran selepas memeluk Islam kelak.



2. Persiapan pengetahuan tentang Islam
Belajar Asas Islam

Sebelum mengucap syahadah seeloknya menghadiri kelas-kelas asas agama Islam yang dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan bukan Kerajaan. Kelas asas tersebut sangat berguna kepada mereka apabila bergelar saudara muslim kelak supaya saudara muslim tidak terjadi kejutan budaya daripada budaya lama kepada budaya atau agama Islam.

Persiapan syahadah

Sebelum mengucap syahadah secara rasmi seeloknya mereka belajar lafaz syahadah dengan muslim yang dapat mengajarkannya. Perkara ini akan memudahkan proses syahadah secara rasmi, kerana syahadah dalam bahasa Arab yang asing bagi bukan Islam. Mereka perlu menghafal lafaz tersebut sampai lancar dan mengulangi di hadapan kawannya supaya tidak gemetar semasa mengucap syahadah.


Pada masa yang sama, sekiranya mereka ingin menukar nama ke dalam bahasa Arab maka persiapkan nama tersebut awal-awal supaya tidak terkejut apabila imam menanyakan nama Arab atau nama islamnya. Sungguhpun penukaran nama merupakan pilihan kepada saudara muslim tetapi kadang kala imam atau ustaz akan menanyakan perkara tersebut. Elok juga menjumpai saudara muslim yang pengalaman dalam urusan syahadah untuk memudahkan membuat persiapan rapi sebelum syahadah.

3. Persiapan kewangan

Sebelum memaklumkan pengislaman kepada ibubapa maka saudara muslim harus memastikan keadaan kewangan yang stabil sehingga apabila ibubapa menghentikan peruntukan kepada mereka maka tidak kebuluran. Oleh itu saudara muslim yang memeluk Islam semasa masih belajar seeloknya menyembunyikan pengislaman sehingga bekerja tetap dan mempunyai kewangan yang stabil.