Tuesday, August 17, 2010

KELAS 1: MAKNA ISLAM

1. Definisi Islam

Islam berasal daripada bahasa Arab iaitu salam dan aslama, Salam bermakna Selamat, Sejahtera, Harmoni dan aman damai manakala Aslama bermakna tunduk dan patuh kepada perintah Allah dengan keridhaan Hati atau menyerah diri hanya kepada Allah semata-mata. Muslim pula bermakna sesiapa yang tunduk dan patuh kepada perintah Alla.

Semua makhluk hidup adalah muslim termasuk juga matahari, bulan, bintang, haiwan dan juga tumbuhan bukan hanya manusia selagi tunduk dan patuh kepada perintah Allah maka digelar sebagai muslim. Matahari patuh kepada perintah Allah dengan memberikan cahaya kepada bumi begitu juga bulan mengeluarkan cahaya pada malam hari. Apa akan berlaku sekiranya matahari dan bulan tidak mahu memberikan cahaya kepada bumi? Dunia ini akan jadi gelap gulita dan tidak stabil sehingga berlaku kekacauan. Begitu juga dengan makhluk Allah yang lain selagi mengikut perintah Allah maka digelar sebagai muslim dan yang ingkar kepada perintah Allah disebut sebagai kafir. Sekiranya semua makhluk ciptaan patuh dan ta'at kepada perintah Allah maka aman dan tenteramlah dunia ini.
Muslim dibahagi kepada dua iaitu muslim yang patuh kepada perintah Allah dengan mengamalkannya disebut sebagai mukmin dan juga yang ingkar kepada perintah Allah dengan sengaja dan kejahilannya.

2. Islam adalah agama sempurna yang diredhai oleh Allah:
Firman Allah:
... Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang (Al-Maidah 5;3).

Maka jika manusia mencari agama yang lain selain Islam maka akan mendaptkan kerugian, Ini dilaporkan oleh Allah dalam ayat di bawah ini:

Barang siapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi (Ali-Imran 3;85)


3. Islam adalah agama yang mudah

Islam adalah agama mudah tetapi budaya tempatan yang menyebabkan Islam kelihatan susah.

Mudah-mudahkan jangan susah-susahkan, beri berita gembira jangan takut-takutkan (Sahih Bukhari)

Hadith di atas menunjukkan Islam adalah yang mudah tetapi budaya yang menyebabkan Islam menjadi susah. Memang Islam mempunyai sedikit hukum hakam untuk memudahkan manusia menjalani kehidupan ini. Tujuan hukum hakam tersebut bukan untuk menyusahkan tetapi memudahkan seperti diadakan undang-undang jalan raya untuk memudahkan pengguna jalan raya. Bayangkan apa akan berlaku di jalan raya sekiranya semua lampu isyarat dipadamkan, maka akan berlaku kesesakan lalu lintas yang cukup lama dan langgar lari berleluasa sebab tidak ada undang-undang jalan raya, maka dengan adanya undang-undang jalan raya maka pengguna dapat memandu dengan selesa dan selamat. Begitu juga hukum hakam dalam Islam untuk memudahkan manusia menjalani kehidupan di dunia sebagai pemimpin yang telah dilantik oleh Allah.  

4. Soalan-soalan lazim yang berkenaan dengan Islam

a. Betul ke Allah itu wujud? Kalau betul Allah wujud ada dimana? Adakah anda pernah melihatnya?

Jawapan 1. Wujudnya alam semesta membuktikan ada pencipta
Kita tidak pernah melihat pokok membelah dirinya sendiri dan mencari paku ke hulu dan ke hilir lalu memaku badannya sendiri dan menjadi kerusi. Begitu juga sekiranya anda tersesat dalam hutan dan menjumpai satu rumah tanpa penghuni di dalamnya terdapat perabot tersusun rapi, lantainya tersapu bersih dan tingkapnya terbuka serta tersedia makanan di atas meja. Adakah anda berfikir semua yang tersedia dalam rumah itu tersedia dengan sendirinya? Adakah kita dapat terima kalau ada orang mendakwa, semua yang ada dalam rumah itu wujud secara kebetulan? Kita susah menerima dakwaan rumah yang tersusun rapi tidak ada penyusunnya. Kita juga susah percaya sebatang pokok mampu mengubah dirinya menjadi kerusi. Oleh itu, lebih sukar diterima dunia yang rapi ini tidak ada pencipta dan pentadbirnya sedangkan semuanya berjalan lancar.

Jawapan 2. Manusia tidak ada kuasa menghalang kehendak pencipta
Ada sebahagian manusia suka akan hujan dan sebahagian lagi suka akan matahari. Sungguhpun demikian tidak ada satupun yang dapat mengawal hujan atau matahari, hanya menerima apa yang Pencipta tetapkan. Manusia hanya dapat meramal keadaan cuaca tanpa dapat mengawalnya, hanya bergantung kepada pencipta yang menetapkannya.

Jawapan 3. Kepada siapa kita hendak berdoa dan mengadu?
Pada masa manusia mengahdapi masalah dan kesedihan, semua usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil. Pada masa itu manusia tidak lagi berharap kepada kenalan atau saudara mara, manusia terus berdoa dan meminta kepada Allah. Firman Allah:

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang dalam kesulitan apabila ia berdoa kepada-Nya, dan menghilangkan kesusahan serta menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi? Apakah di samping Allah ada tuhan yang lain? Amat sedikitlah kamu mengingati-Nya (An-Namlu 27;62).

Tidak nampak tidak semestinya tidak ada, buktinya udara tidak nampak adakah udara itu tak wujud? Buktinya udara itu ada untuk kita bernafas dan saintifik membuktikan bahawa udara itu wujud sungguhpun tak nampak. Begitu juga dengan Allah tidak nampak bukan bermakna tidak wujud. Kita tidak nampak Allah sebab Allah tidka menciptakan deria kita untuk dapat melihat Allah. Manusia berada dalam Ruang, masa dan jisim sedangkan Allah berada di luar daripada masa, tempat dan jisim. Oleh sebab itu kita tidak nampak Allah.

b. Siapa Allah? Siapa cipta Allah 

Allah menerangkan tentang diri-Nya dalam ayat di bawah ini:

Katakanlah: "Dia-lah Allah, Yang Maha Esa, Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan Dia". (Al-Ikhlas 112;1-4)


Allah pencipta bukan dicipta

c. Bolehkah Allah berubah wujud menjadi manusia?
Allah terkeluar daripada masa, tempat dan jisim sehingga terkeluar daripada awal dan akhir serta tidak wujud dalam dunia manusia.

d. Bolehkah Allah melakukan segala-segalanya?
Allah hanya melakukan apa yang dikehendakinya semata-mata dan sesuai dengan sifatnya sebagai pencipta

e. Adakah boleh memaksa orang lain memeluk Islam?
(La ikraha fiddin) rujuk ayat di bawah:

f. Kenapa kita tidak boleh lihat Allah?
Allah tidak jadikan manusia deria untuk dapat melihat Allah, seperti sebuah pen yang tidak dapat melihat pembuatnya

g. Kenapa Allah hanya satu?
Sekiranya pencipta ada lebih dari satu maka akan terjadi huru hara sebab apabila terdapat perbezaan pandangan dan masing-msing berkeras mahu melaksanakan pandangan masing-masing maka hancurlah dunia. Ini dilaporkan dalam ayat di bawah:

Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah rusak binasa. Maka Maha Suci Allah yang mempunyai 'Arsy daripada apa yang mereka sifatkan. (Al-Anbiyaa 21;22)

Cuba anda bayangkan sekiranya satu kapal terbang dipandu oleh dua orang pilot, apa yang akan berlaku? mesti kapal tersebut akan jatuh dan penumpangnya akan mati begitu juga perumpamaan sekiranya pencipta lebih daripada satu mesti akan berlaku perbezaan pandangan.

i. Kenapa dalam Al-Qur'an Allah menggunakan kami adakah Allah lebih daripada satu?
Kami yang dimaksudkan dalam ayat Al-Qur'an bukan bermaksud ramai (Jamak) tetapi merujuk kepada kekuasaan. Sebagai contoh Permaisuri Elizabeth apabila berucap sentiasa menggunakan We, adakah beliau ramai? Tidak tetapi We tersebut mewakili keagungan kerajaan Inggeris Raya, begitu juga Allah menggunakan Kami bukan bermakna Allah lebih daripada satu tetapi menunjukkan keagungan Allah sebagai pencipta Allah semesta ini.

j. Kenapa dalam Islam tidak boleh ada perantaraan seperti agama-agama lain?
Perantraan dalam agama adalah perbuatan syirik kerana menyekutukan Allah dengan ciptaan-Nya. Syirik adalah termasuk dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah seperti dilaporkan dalam ayat di bawah ini:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa selain daripada syirik itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar (An-Nisaa' 4;48;116).

k. Betul ke Allah maha pengasih dan penyayang? Kalau maha pengasih dan penyayang kenapa tidak ampunkan sahaja semua dosa manusia? 
Allah tidak mengampunkan semua kesilapan manusia kecuali bertaubat, ini membuktikan Allah adil kepada semua hambanya. Sekiranya mengampun sahaja semua kesilapan manusia tanpe perlu bertaubat maka di mana keadilan dan kasih sayang Allah kepada orang-orang yang beriman dan bertungkus lumus berusaha  untuk berbuat baik. Adanya galakan dengan disediakan syurga maka akan memberi semangat kepada manusia untuk berlumba-lumba berbuat baik dan taat kepada perintah Allah. Sama juga adanya ujian untuk memilih yang terbaik. Sama juga seperti peperiksaan, guru mengadakan peperiksaan adalah untuk memilih pelajar yang terbaik. Sekiranya tidak diadakan peperiksaan maka pelajar tidak belajar dengan serius sebab tidak ada tanggung jawab dengan adanya peperiksaan maka pelajar akan berlajar dengan lebih bersungguh-sungguh lebih lagi selepas diberi imbalan dengan keputusan peperiksaan.

No comments:

Post a Comment