Thursday, June 9, 2011

SALAHKAN ORANG MASUK ISLAM KERANA BERKAHWIN DENGAN MUSLIM?

Sebahagian saudara muslim memeluk Islam kerana percintaan dengan muslim sehingga memeluk Islam untuk memudahkan mereka berkahwin. Pergaulan antara bukan Islam dengan muslim di alam persekolahan dan pekerjaan telah melahirkan perasaan cinta dan kasih sayang di antara mereka. Undang-undang Malaysia tidak membenarkan perkahwinan antara lelaki atau perempuan muslim dengan lelaki atau perempuan bukan Islam. Oleh itu, bukan Islam wajib memeluk Islam jika ingin berkahwin dengan muslim baik secara terpaksa ataupun secara sukarela.

Sebelum memeluk Islam digalakkan untuk mempelajari Islam dengan manghadiri kelas-kelas yang disediakan oleh Pertubuhan bukan Kerajaan untuk orang-orang mahu belajar Islam. Pasangan daripada kalangan muslim yang memahami Islam dengan baik akan menyokong bakal pasangan untuk belajar Islam sebelum memeluk Islam sehingga mereka faham Islam. Kebiasaannya mereka tidak merasa dipaksa untuk memeluk Islam selepas memahami Islam dengan baik.

Sebahagian daripada mereka merasa dipaksa memeluk Islam kerana perkahwinan tersebut terlebih lagi apabila pasangan Islam tidak mengajak mereka mempelajari Islam sebelum berkahwin. Oleh itu, ramai saudara muslim yang memeluk Islam kerana berkahwin tidak belajar dan mengamalkan Islam. Saudara Muslim kumpulan ini sangat berpotensi untuk kembali kepada agama asal apabila mempunyai masalah selepas berkahwin dan berlaku perceraian.

Sebahagian muslim memandang rendah Saudara Muslim yang memeluk Islam kerana berkahwinan. Sepatutnya muslim mengucapkan tahniah dan memberikan sokongan kerana memeluk Islam melalui perkahwinan tersebut. Muslim harus memanfaatkan keIslaman tersebut dengan membimbing mereka supaya menjadi muslim yang baik. Orang yang memeluk Islam kerana perkahwinan jika dibimbing dengan baik akan menjadi muslim yang baik. RTerdapat pendakwah bebas di Malaysia daripada mereka yang memeluk Islam kerana perkahwinan.

Pada zaman Rasulullah Islam juga disebarkan melalui perkahwinan dengan kalangan bukan Islam. Bahkan pendakwah-pendakwah yang menyebarkan Islam ke nusantara juga menggunakan perkahwinan untuk memudahkan menyampaikan Islam kepada rakyat tempatan. Yang menjadi isu bukan masuk Islam kerana perkahwinan tetapi setakat mana penggunaan peluang tersbut untuk membimbing mereka untuk mengenali dan mengamalkan Islam.

No comments:

Post a Comment