Tuesday, September 14, 2010

CLASS. 8 CARA SHALAT (SAMB)

2. Sunat shalat

A. Mengangkat kedua belah tangan pada empat tempat

Pertama semasa takbiratu'l ihram

Cara Mengangkat Tangan
Mengikut kesepakatan ulama tersohor, mengangkat tangan setentang dengan kedua bahu, sehingga hujung jari sejajar dengan puncak telinga, kedua hujung jari dengan kedua hujung bawahnya, serta kedua telapak tangan dengan kedua bahu. Daripada Abu Hurairah, Nabi saw bersabda:
"Bahawa Nabi saw. semasa berdiri melakukan shalat, diangkatnya kedua tangannya dengan terkembang (yang berlima)."



Masa Mengangkat Tangan
Kedua tangan diangkat bersamaan dengan mengucapkan takbiratu'l ihram atau sebelumnya. Daripada Nafi', Nabi saw bersabda:

"Bahawa Nabi saw mengangkatkan kedua tangannya semasa membaca takbir hampir setentang ataupun setentang dengan kedua bahunya."....(Ahmad).

Mengangkat tangan sebelum takbir seperti dilaporkan oleh Ibnu Umar, Nabi saw. bersabda:
"Apabila Nabi saw. berdiri mahu mengerjakan shalat diangkatkannya kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya, lalu membaca takbir." (Sahih Bukhari dan Muslim)

Kedua dan Ketiga, Mengangkat kedua tangan semasa ruku' dan i'tidal (Bangkit daripada ruku'). Daripada Umar, Nabi saw bersabda:
"Apabila Nabi saw. berdiri mahu mengerjakan shalat diangkatkannya kedua tangannya setentang dengan kedua bahunya, lalu membaca takbir. Kemudian apabila ia hendak ruku' diangkatnya pula seperti itu, dan jika ia mengangkat kepala semasa bangkit daripada ruku', diangkatnya pula seperti demikian dan diucapkannya: "Sami'allahu liman hamidah, rabbana laka'l hamdu." (Sahih Bukhari dan Muslim)

Keempat, mengangkat kedua tangan semasa bangkit daripada sujud dan melakukan rakaat ketiga. Daripada Ali, Nabi saw . bersabda:
"Bahawa apabila bangkit daripada sujud, Nabi saw. mengankat kedua tangannya sejajar dengan kedua bahu dan membaca takbir." (Abu Daud, Ahmad dan Turmudzi).

2. Meletakkan Tangan Kanan di atas Tangan Kiri
Daripada Jabir, katanya:
"Rasulullah saw. lalu di tepi seorang lelaki sedang shalat yang meletakkan tangan kiri di atas tangan kanannya. Maka Nabi menarik tangan kanannya dan diletakkan tangan kanannya di atas tangan kirinya." (Ahmad)



Meletakkan Tangan di atas dada

Daripada Hulb Ath Thai, katanya:

"Saya melihat nabi saw. meletakkan tangan kanan di atas tangan kirinya di atas dada iaitu di atas pergelangannya." (Ahmad).

Daripada Wail bin Hajar. katanya:
"Saya shalat bersama Nabi saw. maka diletakkannya tangan kanann di atas tangan kirinya dia atas dada." (Disahkan oleh Ibnu Khuzaimah, Abu Daud dan Nasa'i)

3. Tawajjuh atau Do'a Iftitah

Disunatkan mengucapkan salah satu di antara doa iftitah yang pernah dibaca oleh Nabi saw. yang dibacakan selepas takbiratu'l ihram dan sebelum membaca Al-Fatihah. Daripada Ali, katanya:

"Apabila Rasulullah berdiri hendak shalat, diucapkannya takbir kemudian dibacanya: "WAJJAHTU WAJHIYA LILLADZI FATHARA'S SAMAWATI WA'L ARDHA HANIFA'M MUSLIMA'W WAMA ANA MINA'L MUSYRIKIN. INNA SHALATI WANUSUKI WAMAHYAYA WAMAMATI LILLAHI RABBI'L ALAMIN. LA SYARIKA LAHU WA BIDZALIKA UMIRTU WA ANA MINA'L MUSLIMIN," 

Maknanya: "Aku hadapkan muka ke hadhirat Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi yang tunduk dan menyerahkan diri, dan tiadalah aku daripada kumpulan musyrikin. Sesungguhnya shalatku dan ibadatku, hidup serta matiku, adalah hak Allah penguasa seluruh alam. Tidak ada sekutu bagi-Nya dan demikianlah aku diperintahkan, aku daripada golongan Muslimin"...(Ahmad, Sahih Muslim, Turmudzi, Sunan Abu Daud).

4. Isti'adzah

Iaitu Membaca A'udzu billah selepas doa iftitah dan sebelum Al-Fatihah. Firman Allah:

"Jika kamu membaca Al-Qur'an, maka berlindunglah kepada Allah daripada syaitan yang direjam (An-Namlu:98).

Bacaan Isti'adzah disunatkan pada rakaat pertama sahaja. Daripada Abu Hurairah, katanya:

"Apabila Nabi saw. bangkit daripada raka'at pertama, ia memulai bacaan dengan "Alhamdu lillahi rabbil 'alamin dan tidak berdiamkan diri." (Sahih Muslim)

5. Membaca Amin

Membaca amiin selepas habis bacaan Al-Fatihah secara keras pada shalat yang dilakukan secara keras seperti shalat magrib, isya dan subuh serta shalat jum'at dan sunat tarawih, sunat aidil fitri dan aidil adha serta dibaca secara senyap pada shalat dzuhur dan ashar serta shalat sunat dhuha dan lain-lain yang dilakukan secara berseorang. Daripada Abu Hurairah, katanya:

"Apabila Rasulullah saw. membaca "Ghairil maghdubi 'alaihim walad dhallain," maka dibacanya "Amin" sehingga terdengar oleh orang-orang dibelakangnya pada shaf pertama (Sunan Abu Daud dan Ibnu Majah).

Disunatkan membaca Amiin bersamaan dengan Imam. Daripada Abu Hurairah, katanya:

"Jika imam mengatakan "Ghairil maghdubi 'alaihim waladhallin" maka bacalah "Amiin", kerana malaikat juga mengucapkan amin bersamaan dengan imam. Maka barang siapa membacanya bersamaan dengan malaikat diampunilah dosanya yang lepas." (Ahmad, Sunan Abu Dawud dan Nasa'i).

6. Membaca ayat atau surat Al-Qur'an

Disunatkan membaca surat atau beberapa ayat Al-Qur'an selepas bacaan Al-Fatihah pada shalat shubuh, jum'at, sertapa pada dua rakaat pertama shalat zuhur, ashar, Magrib dan Isya serta shalat sunat. Daripada Abu Qatadah:

"Bahawa Nabi saw membaca pada kedua raka'at pertama shalat zuhur, Al-Fatihah dan dua surat dan pada kedua raka'at akhir juga kedengaran oleh kemi membaca ayat. Dan berbeza dengan raka'at kedua, maka bacaan pada rakaat pertama dipanjangkannya. Demikian pula shalat 'Ashar, dan juga shalat Subuh." (Shahih Bukhari dan Muslim serta Sunan Abu Daud).

Sujud Tilawah (Sujud Sajadah)

Pada subuh hari Jum'at Rasulullah membaca surat Al-Mukminun dan As-Sajadah secara penuh, sungguhpun demikian bukan satu keutamaan sujud sajadah pada subuh hari Jum'at, kerana kedua surat tersebut mengandungi peringatan tentang asal usul dan tujuan penciptaan manusia, penciptaan Adam, syurga dan nereka yang berlaku pada hari Jum'at. Oleh itu Rasulullah membaca surat berkaitan dengan kejadian pada hari tersebut sebagai peringatan kepada umat Islam tentang peristiwa tersebut.

7. Membaca Takbir semasa berpindah

Sunat membaca takbir setiap kali bangkit dan turun, bediri dan duduk, kecuali semasa bangkit daripada ruku' dibaca "Sami'allahu liman hamidah" maksudnya: "Mendengar Allah pujian orang yang memuji-Nya." Dariapada Ibnu Mas'ud, katanya:

"Saya melihat Rasululah saw. mengucapkan takbir setiap kali turun dan bangkit, berdiri dan duduk." (Ahmad, Nasa'i dan Tirmidzi).

8. Kaedah dan Bacaan Ruku'

Disunatkan meratakan kepala dengan pinggul, kedua tangan berada di atas kedua lutut dan merenggangkannya daripada pinggang, mengembangkan jarai-jari atas lutut dan pangkal betis, serta mendatarkan punggung.



Daripada 'Uqbah bin 'Amir:

"Tatkala turun, "Fasabbih bismi rabbikal 'adhim" maknanya tasbihlah memuja Tuhanmu Yang Maha Besar,bersabdalah Nabi kepada kami: "Tempatkanlah itu pada ruku'-ruku' mu!" (Ahmad, Sunan Abu Daud).

Daripada Huzaifah, katanya:

"Saya shalat bersama Rasulullah saw. Maka dalam ruku'nya ia membaca "Subhana rabbiyal 'adhim" (Sahih Muslim dan Ash-habus Sunan).

9. Bacaan semasa bangkit daripada ruku' dan I'tidal

Disunatkan membaca "Sami'allahu liman hamidah" maknanya: "Allah mendengar orang yang memuji-Nya" dan semasa bangkit daripada ruku' dan "Rabbana walakal'lhamdu atau Allahumma rabbana walakal hamdu" maknanya: "Ya Tuhan Kami bagi-Mulah puji-pujian atau Ya Alah Tuhan Kami, dan bagi-Mulah puji-pujian." Daripada Abu Hurairah, katanya:

"Bahawa Nabi saw. mengucapkan "Sami'allahu liman hamidah" semasa bangkit daripada ruku', kemudian membaca "Rabbana walaka'lhamdu" selepas berdiri." (Sahih Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Daripada Ali, katanya:

"Bahawa Rasulullah saw. apabila bangkit daripada ruku', membaca "Sami'allahu liman hamidah, rabbana walaka'lhamdu mil'as samawati wal ardhi wa ma bainahuma, wa mil'ama syi'ta min syai-im ba'du". Maknanya: "Allah mendengar orang yang memuji-Nya. Ya Tuhan kami, bagi-Mulah segala puji, seluruh langit dan bumi serta isi di antara keduanya, dan seluruh yang Allah kehendaki selain daripada itu" (Ahmad, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud dan Tirmidzi).

10. Turun Sujud dan Bangkit daripada sujud
 
Daripada Wail bin Hajar, katanya:

"Saya melihat Rasulullah saw. apabila sujud, meletakkan kedua lututnya sebelum kedua tangannya, dan jika bangkit, mengangkat kedua tangan sebelum kedua lutut."(Ahmad dan Abi Daud).


11. Sujud

Disunatkan sujud dalam beberapa perkara :
a. Merapatkan hidung, kening dan kedua tangan ke lantai dengan merenggangkannya daripada pinggang. Daripada Wail bin Hajar, katanya:

"Bahawa Nabi saw. tatkala sujud, diletakkannya keningnya di antara kedua telapak tangannya dengan merenggangkannya dari ketiaknya." (Sunan Abu Daud).

b. Meletakkan telapak tangan sejajar telinga atau bahu
Daripada Abu Humeid, katanya:

"Bahawa Nabi saw. merapatkan hidung dan keningnya ke lantai semasa sujud, merenggangkan kedua tangannya daripada pinggang dan meletakkan kedua telapak tangannya sejajar dengan kedua bahunya (Ibnu Khuzaimah dan Tirmidzi).

c. Melepaskan jari-jemari secara rapat.
Daripada Hakim dan Ibnu Hibban, katanya:
"Bahawa Nabi saw. merenggangkan jari-jemarinya apabila ruku', merapatkannya apabila sujud (Hakim dan Ibnu Hibban)

d. Menghadapkan hujung jari ke arah kiblat
Daripada Abu Humeid, katanya:

"Apabila Nabi saw. melakukan sujud, diletakkannya kedua tangannya tanpa merenggangkannya dan tidak pula menggenggamnya, serta ujung-ujung jari kakinya menghadap kiblat." (Sahih Bukhari)

12. Sujud dan Bacaannya

Daripada 'Uqbah bin Amir, katanya:

"Tatkala turun ayat "Sabbihisma rabbika'l a'la", bersabdalah Rasulullah saw: "Taruhlah ia di waktu sujudmu!" (Ahmad, Sunan Abu Daud, Ibnu Majah dan Hakim).



Daripada Huzaifah, katanya:

"Bahawa dalam sujudnya, Nabi saw. membaca "Subhana rabbiya'l a'la." (Ahmad, Sahih Muslim dan Ash-Habus Sunan).

13. Duduk di antara dua sujud

Duduk antara dua sujud secara ifitrasi maknanya: melipat kaki kiri, renggangkan dan duduk di atasnya, tegakkan telapak kaki kanan dan hujung jarinya menghadap kiblat. Daripada Aisyah, katanya:

"Bahawa Nabi saw. menghamparkan kaki kirinya dan menegakkan telapak kanannya" (Sahih Bukhari dan Muslim).

Daripada Ibnu Umar, katanya:

"Di antara sunat shalat ialah menegakkan telapak kaki kanan dan menghadapkan jari-jemari ke arah kiblat, serta duduk di atas kaki kiri." (Nasa'i).



Daripada Abu Humeid, menerangkan shalat Rasulullah saw:

"Kemudian dilipatkannya kakinya yang kiri dan di duduknya, kemudian ia bangkit sehingga setiap tulang kembali ke tempat semula, dan selepas itu ia jatuh ke lantai melakukan sujud." (Ahmad, Sunan Abu Daud dan Tirmidzi).

Doa di antara dua sujud

Daripada Hudzaifah, katanya:

"Bahawa Nabi saw. sentiasa membaca di antara dua sujud: "Rabbi'ghfir li. Rabbi'rghfir li!" Maknaya: "Tuhanku, ampunilah daku! Tuhanku ampunilah daku!" (Nasa'i dan Ibnu Majah)

Daripada Abbas, katanya:

"Bahawa Nabi saw. di antara dua sujud itu membaca: "Allahumma'ghfir li. wa'rhamni, wa'afini, wa'hdini, wa'rzuqni." maknanya: "Ya Allah, ampunilah daku, beri rahmatlah daku, sihatkanlah daku, tunjukanlah daku, dan beri rezekilah daku!" (Sunan Abu Daud) 

14. Tuma'ninah

Iaitu duduk sekejap semas bangkit daripada sujud kedua pada setiap memasuki rakaat seterusnya. Daripada Yusuf Bin Musa katanya:

"Abu Umamah disoal orang tentang cara bangkit daripada sujud yang kedua, maka jwabnya: Di atas punggung kedua telapak kaki." (Malek bin Huwairits dan Rifa'ah).

15. Duduk Tasyahud

a. Kedudukan tangan masa tasyahud. Daripada Ibnu 'Umar, katanya:

"Apabila Nabi saw. duduk untuk membaca tasyahud, diletakkan tangan kiri di atas lutut kiri, dan tangan kanan di atas lutut kanan, dan dibuat 53 (Jari gengam jari-jarinya dan ibu jari diletakkan pada pergelangan tengah di bawah telunjuknya), serta menunjuk dnegan telunjuknya."

"Dan digengamnya semua jarinya dan menunjuk dengan anak jari yang ditepi ibu jari (Muslim)



Daripada Wail bin Hajar, katanya:

"Bahawa Nabi saw. meletakkan telapak tangan kiri di atas paha dan lutut kiri, telapak tangan kanan di atas paha kanan, kemudian di gengam jari-jari membentuk lingkaran." 

"Digengamnya jari tengah dan ibu jari, serta menunjuk dengan telunjuk, kemudian diangkatnya satu jari, dan digerakkan dan digunakan untuk berdoa" (Ahmad)

Daripada Zubeir, katanya:

"Bahawa Nabi saw. apabila berdoa, memberi isyarat dengan jarinya dan tidak menggerakkannya." (Sunan Abu Daud)

"Apabila Rasulullah saw. duduk membaca tasyahud, diletakkan tangan kanan di atas paha kanan, dan tangan kiri di atas paha kiri, serta memberi isyarat dengan telunjuk, dan pandangan matanya tidak melampaui telunjuk." (Ahmad, sahih Muslim dan Nasa'i)

b. Memberi isyarat dengan telunjuk kanan dan membongkokkan sedikit sehingga salam

Daripada Khuza'i, katanya:

"Saya melihat Rasulullah saw. sedang duduk shalat, beliau meletakkan lengan kanan di atas paha kanan sambil mengangkat jari telunjuk, membongkokkan sedikit semasa doa." (Ahmad, Sunan Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah)

Daripada Anas bin Malik, katanya:

"Rasulullah lalu semasa Sa'ad sedang berdoa menggunakan dua jari, maka sabdanya: "Pakailah satu jari, hai Sa'ad!" (Ahmad, Sunan Abu Daud, Nasa'i dan Hakim)

Tiga Kaedah menunjukkan jari telunjuk

Pertama. Mazhab Syafi'i hanya memberi isyarat sekali sahaja semasa membaca "Illa'llah."

Kedua. Mazhab Hanafi mengangkat telunjuk semasa menyebut "la" maknanya "Tidak" dan menjatuhkan semual semasa menyebut "Illallah".

Ketiga. Mazhab Maliki menggerakkan ke kanan dan ke kiri sehingga selesai shalat manakala Hambali memberi isyarat setiap menyebut nama Allah tanpe menggerakkannya

c. Duduk iftirasy pada tasyahud pertama dan duduk tawarruk pada rakaat terakhir.

Daripada Abu Humeid katanya:

"Maka apabila ia duduk pada raka'at kedua, duduk di atas kaki kiri dan ditegakkan kaki kanan. Kemudian apabila ia duduk pada rakaat terakhir, dimajukan kaki kiri dan ditegakkan kaki kanan serta duduk di atas panggulnya." (Sahih Bukhari)


16. Tasyahud Pertama

Jumhur ulama sepakat tasyahud pertama sunat berdasarkan Hadith daripada Abdullah bin Buhairah:

"Bahawa Nabi saw. berdiri semasa shalat Zuhur, sepatutnya ia harus duduk. Maka selepas shalat selesai iapun sujud dua kali dengan membaca takbir pada setiap kali sujud di antara duduk, sebelum memberi salam, dan orang-orang pun ikut sujud bersamanya. Maka sujud itu adalah sebagai imbalan duduk yang terlupa." (Jama'ah)

Sunat memendekkan bacaan Tasyahud awal

Daripada Ibnu Mas'ud, katanya:

"Apabila Nabi saw. duduk pada dua raka'at yang mula-mula, maka seolah-olah ia berada di atas bara api." (Ahmad dan Ash-Habus Sunan)


17. Shalawat Kepada Nabi Saw.

Disunatkan membaca salawat kepada Nabi pada Tasyahud awal di antara salah satu doa-doa ini:

1. Daripada Abu Mas'ud Al-Badari, katanya:

"Basyir bin Sa'ad bertanya: "Ya Rasulullah! Allah telah memerintahkan agar kami berselawat pada Anda. Bagaimana caranya kami bersalawat?" Nabi pun diam, lalu berkata: "Katakanlah: "Allahumma shalli'ala Muhammad wa'ala ali Muhammad, kama shallaita 'ala Ibrahim, wabarik 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad. kama barakta 'ala ali Ibrahim, fil 'alamina innaka hami-du'm majid." Maksudnya: "Ya Allah, berilah shalawat kepada Muhammad!, dan Keluarga beliau, sebagaimana Engkau telah berikan kepada keluarga Ibrahim! Dan berkatilah kepada Muhammad beserta keluarganya, sebagaimana Engkau telah berikan kepada keluarga Ibrahim, diseluruh penjuru alam, Sungguh Engkau Maha Tepuji, lagi Maha Mulia." (Sahih Muslim dan Ahmad)

2. Daripada Ku'ab bin 'Urjah, katanya:

"Kami katakan: Ya Rasulullah , kami telah tahu cara memberi salam kepada Anda. Bagaimana cara berselawat kepada Anda?" Nabi bersabda: "Allahumma shalli'ala Muhammad, wa'ala ali Muhammad, kama shallaita 'ala Ibrahim, innaka hamidum majid. Allahumma barik 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad, kama barakta 'ala ali Ibrahim, innaka hami-du'm majid." (Jamaah)

3. Daripada Fudhalah bin Ubeid, katanya:

"Nabi saw mendengarkan seorang lelaki berdoa dalam shalatnya, dan ia tidak mengucapkan shalawat kepada Nabi. Maka bersabdalah Nabi saw: "Orang ini terburu-buru!" Kemudian dipanggilnya orang itu, dan dikatakan kepadanya: "Apabila salah seorang di antara kamu shalat, hendaklah ia mulakan dengan memuji dan menyanjung Allah, kemudian mengucapkan shalawat kepada nabi saw., kemudian berdoa mengikut yang ditentukan Allah!" (Turmudzi, Ahmad dan Sunan Abu Daud)

18. Doa selepas Tasyahud Akhir dan sebelum Salam

Daripada 'Abdullah bin Mas'ud, katanya:

"Bahawa Nabi saw. mengajarkan kepada mereka tasyahud, kemudian akhirnya: "Kemudian pilihlah olehmu pelbagai permohonan yang kamu sukai." (Sahih Muslim)

Daripada Abu Hurairah, katanya:
"Apabila salah seorang di antara kamu selesai membaca tasyahud akhir, hendaklah ia berlindung kepada Allah daripada empat perkara, dengan membaca: "Allahumma inni a'udzu bika min adzabi jahannam, wamin adzbi'l qabri, wamin fitnati'l mahya wal mamati, wamin syarri fitnatil masihi,d dajjal." Maksudnya: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada neraka jahannam, siksa kubur dan becana kehidupan dan kematian, serta  kejahatan bencana dajjal si penipu." (Sahih Muslim)

19. Zikir dan doa selepas salam

Daripada Tsauban, katanya:

"Apabila Rasulullah saw. selesai shalat, maka ia membaca istighfar tiga kali, dan "Allahumma antas salam, wa minkas salam, tabarakta ya dzal jalali wal ikram." maknanya: "Ya Allah, Engkaulah salam, dan daripada-Mu kesejahteraan, serta Maha Besar Kebijan-Mu, Ya Allah Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan." (Jamaah)

Daripada Mu'adz Bin Jabal, katanya:

"Bahawa Rasulullah saw pada suatu hari memegang tangannya lalu sabdanya: "Hai Mu'adz saya sungguh sayang padamu!' Mu'adz berkata: "Demi ibu-bapaku yang menjadi tebusan anda, Wahai Rasulullah, saya juga cukup sayang kepada anda!" Sabda Nabi saw. pula: "Hai Mu'adz! Saya amanatkan kepadamu supaya setiap selesai shalat, jangan tinggalkan membaca: "Allahumma a'inni 'ala dzikrika, wasyukrika wa husni 'ibadatika." maknanya: "Ya Allah, berilah aku bantuan dalam mengingat-Mu, bersyukur dan menyempurnakan ibadah pada-Mu." (Ahmad, Sunan Abu Daud, Nasa'i, Ibnu KHuzaimah, Ibnu Hibban dan Hakim).

4 comments:

  1. Tahniah, tulisan yang baik. Mohon saya copy gambar rukuk dan sujud

    ReplyDelete
    Replies
    1. Boleh selagi bermanfaat ambil sahaja tidak ada masalah, ilmu perlu disampaikan dalam islam tidak ada istilah hak paten untuk ilmu sebab ilmu Allah sangat luas

      Delete
  2. salam...
    nak tanya sikit, semua ni adalah perkara sunat dalam solat ye?
    jadi saya nak minta copy tentang duduk antara dua sujud tu..

    ReplyDelete
  3. pada saat sujud kenapa gambarnya pd tumit kaki tidak merapat pdhl ada dalilnya Ketika sujud, kita dianjurkan merapatkan tumit. ini berdasarkan hadis:

    “Beliau merapatkan kedua tumitnya (ketika sujud).” (HR. At Thahawi dan Ibn Khuzaimah dan dishahihkan Al Albani)

    Disebutkan dalam riwayat Aisyah radhiallahu ‘anha, beliau mengatakan:

    فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَعِي عَلَى فِرَاشِي، فَوَجَدْتُهُ سَاجِدًا رَاصًّا عَقِبَيْهِ مُسْتَقْبِلًا بِأَطْرَافِ أَصَابِعِهِ الْقِبْلَةَ،

    “Saya kehilangan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, padahal sebelumnya beliau tidur di sampingku. Tiba-tiba aku menjumpai beliau sedang sujud, dalam keadaan merapatkan kedua tumit beliau, dan ujung-ujung jari kaki beliau menghadap kiblat.” (HR. Ibnu Khuzaimah 654. Al-A’dzami mengatakan: Sanadnya sahih)

    ReplyDelete