Thursday, June 16, 2011

MACAMNA MEMBERITAHU KELUARGA TENTANG PENGISLAMAN?


Selepas sahaja mengucap syahadah maka timbul perasaan yang cukup lega seolah-olah semua beban hilang. Sungguhpun demikian keadaan tersebut bersifat sementara, selepas itu akan timbul perasaan takut untuk memaklumkan pengislaman kepada keluarga. Jangan paksa mereka untuk memberitahu keluarga serta merta jika mereka belum bersedia kerana mereka lebih tahu penerimaan keluarga berbanding kita.


Sungguhpun tujuan kita untuk memudahkan mereka menjaga pemakanan dan amalan tetapi tentangan keluarga akan menyusahkan mereka dalam mengamalkan Islam. Kebanyakan keluarga bukan Islam menganggap bahawa masuk Islam adalah masuk Melayu sehingga mereka takut kehilangan anak kerana masuk Islam akan jadi Melayu.

Sebahagian Muslim melarang Saudara Muslim balik ke rumah ibubap
a kerana ibubapa makan makanan haram dan mengamalkan syirik. Oleh itu, keluarga bukan Islam merasa kehilangan anak-anak mereka jika masuk Islam, mereka tidak ada masalah anak memeluk Islam asalkan tidak menjadi melayu. Saudara Muslim perlukan persediaan mental untuk berhadapan dengan keluarga sekiranya keluarga tidak dapat menerima pengislaman dan menentangnya. Sebahagian Saudara Muslim terus memberitahu keluarga tentang pengislaman dan sebahagian lagi mengambil masa berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun untuk memaklumkannya. Berikan masa kepada Saudara Muslim untuk memaklumkan pengislaman kepada keluarga.


Saudara Muslim perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi keluarga apabila keluarga bukan Islam mengetahui tentang pengislaman. Saudara Muslim mengharapkan keluarga bukan Islam dapat menerima pengislaman serta merta apabila dimaklumkan kepada keluarga. Saudara Muslim harus sedar bahawa sebelum mereka memeluk Islam memerlukan masa yang agak lama untuk membuat keputusan untuk memeluk Islam. Selepas memeluk Islam pula Saudara Muslim masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa mereka adalah muslim sehingga perlukan masa yang agak lama untuk menerima diri mereka sebagai seorang muslim.


Sekiranya Saudara Muslim sendiri perlukan masa yang lama untuk dapat menerima kenyataan bahawa dirinya telah menjadi seorang muslim maka Saudara Muslim harus memberikan masa yang lebih lama kepada keluarga untuk dapat menerima pengislaman mereka. Jangan berharap keluarga bukan Islam dapat menerima pengislaman serta merta. Saudara Muslim dapat melakukan beberapa perkara yang dapat menyejukkan hati ibubapa dan dapat menerima pengislaman secara perlahan-lahan :

1. Memaklumkan pengislaman secara perlahan-lahan secara tidak langsung seperti membetulkan salah tanggapan mereka tentang Islam tanpa bias ataupun membela Islam.



2. Tunjukkan perubahan positif selepas memeluk Islam seperti


a. Salam dengan menjabat dan mencium tangan ibubapa setiap kali balik ke rumah.


b. Ikut semua ucapan ibubapa dan jangan menyampuk sebelum mereka habis bercakap


c. Hargai mereka dengan memaklumkan kepada ibubapa setiap kali keluar rumah dan meminti kebenaran daripadanya


d. Menyiapkan makanan kepada ibubapa


e. Hubungi mereka dengan kerap dan minta nasihat daripada mereka sebagai pengiktirafan kita terhadap ibubapa


f. Hantar hadiah kepada mereka setiap menjelang hari-hari besar Islam seperti bulan Ramadhan dan hari raya


g. Raikan hari-hari besar bersama ibubapa seperti sambutan tahun Baru Cina dan Pesta keamatan serta sambutan hari besar lainnya selagi tidak bercanggah dengan syarak




3. Saudara Muslim perlu mengekalkan identiti diri supaya keluarga tidak menganggap mereka telah menukar bangsa juga.


4. Buktikan bahawa Islam tidak pernah memutuskan hubungan darah di antara anak dan ibubapa serta adik beradik.


5. Mengambil berat tentang keluarga bukan Islam sungguhpun berbeza agama akan memudahkan mereka menerima pengislaman tersebut.


6. Banyak bertolak angsur berkaitan hukum-hukum fikah dalam berinteraksi dengan mereka buat seketika sehingga sampai masa yang sesuai untuk menerangkan secara perlahan-lahan.

No comments:

Post a Comment