Tuesday, May 5, 2015

MEMOHON TAJAAN BUKU UNTUK TUJUAN DAKWAH .

Dengan segala hormatnya merujuk perkara di atas.

Al Qalam adalah sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti dakwah kepada bukan Muslim dan muallaf. Kami telah beroperasi hampir sepuluh tahun dengan menjalankan aktiviti wakaf buku, kelas pengajaran percuma kepada muallaf dan ziarah muallaf secara berkala. Al Qalam juga membantu muallaf memahami Islam melalui kumpulan facebook tertutup yang telahpun mencecah hampir 3000 ahli. (Rujuk FB group SOAL JAWAB ISU MUALLAF).

Al Qalam ingin memohon kepada pihak tuan untuk menaja buku bertajuk “Islam Untuk Semua” yang telah ditulis dalam Bahasa Cina. Al Qalam telah mendapat maklum balas positif daripada para pembaca buku tersebut yang terdiri dari kalangan muallaf dan bukan Muslim. Sehingga ke hari ini, buku tersebut telah banyak menyampaikan mesej dakwah kepada bukan Muslim dan muallaf. Namun begitu, kami mempunyai kekangan kewangan untuk mengagihkan buku tersebut kepada golongan sasaran.

Untuk makluman pihak tuan, kami berhasrat mengedarkan buku tersebut melalui Pertubuhan Skuad Mubaligh Negeri Sembilan, Hidayah Centre Pusat, Hidayah Centre Kuching, Hidayah Centre Bintulu, Masjid Negeri Kuching, Masjid Cina Tasik Ipoh, Masjid Cina Melaka, Masjid Cina Titi Papan Penang, Komplek Saadah Negeri Sembilan, Masjid Putra, Masjid Negara, Masjid Kristal dan Masjid Jamek serta Islamic Information Centre Kuching. 

Terdapat lebih 6 juta penduduk di Malaysia terdiri daripada kaum cina dan sebahagian besar dari mereka tidak mendapat pendedahan tentang kemurnian Islam. Kandungan buku “Islam untuk Semua” sangat mudah difahami dan amat bersesuaian dijadikan sebagai bahan bacaan bukan Muslim. Usaha ini juga diharap dapat menyelesaikan salah faham bukan Muslim terhadap Islam termasuk menjelaskan isu al-Quran percuma yang telah menjadi polemik di kalangan bukan Muslim di Malaysia. Selain itu, pengunjung Masjid Putra, Masjid Negara, Masjid Jamek dan juga Masjid Cina di Ipoh, Melaka serta Penang terdiri daripada majoriti pelancong dari Cina. Setiap tahun, jumlah pelancong juga semakin bertambah dan secara tidak langsung membuka peluang dakwah yang lebih luas.

Kami mensasarkan sebanyak 1000 naskah buku dengan harga senaskah RM10 dapat diagihkan kepada pelbagai pertubuhan dakwah tersebut. Pihak kami sedang berusaha mencari penaja yang sudi berwakaf mengikut kemampuan masing-masing.

Setiap sumbangan yang dihulurkan pasti mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Menjadi penyebab hidayah kepada seseorang adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya (maksud hadis). Sumbangan untuk wakaf buku dalam bentuk wang tunai atau cek boleh dimasukkan ke akaun CIMB Islamik 8602219438 atas nama AL QALAM ENTERPERISE. Pihak tuan boleh menghubungi Faisal Abdurrahman di talian 019-3568602 atau Asmah Alias di talian 013-2275245 untuk maklumat lanjut.


Bersama-sama ini dilampirkan kertas kerja untuk perhatian dan semakan pihak tuan. Kerjasama dan pertimbangan pihak tuan dalam perkara ini didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga Allah membalasnya dengan segala kebaikan.